top of page

Kelulusan apartment mewah, DBKL perlu beri penjelasan


Kelulusan apartment mewah, DBKL perlu beri penjelasan Sinar Harian www.sinarharian.com.my
Gambar hiasan: Kejadian banjir yang semakin kerap berlaku di kawasan bandar utama Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberikan penjelasan berhubung dakwaan sebuah kolam takungan di Lorong Maarof di sini dipercayai telah dijual untuk tujuan pembangunan apartment mewah seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita pada Sabtu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kolam tersebut merupakan satu daripada enam kolam takungan banjir yang telah diluluskan untuk pembangunan seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Menurutnya, kolam takungan itu sering kali melimpah apabila hujan lebat hingga merosakkan jalan di Lorong Maarof serta mengakibatkan Taman Bangsar dinaiki air.

"Oleh itu, DBKL perlu memberi penjelasan penuh mengenai perkara ini. Saya sukar terima kawasan yang begitu kecil boleh atau telah diberi kelulusan untuk tujuan pembangunan yang besar.

"Berdasarkan carian peta dalam talian di Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020) setakat pagi Ahad, lokasi tersebut (Lot 481350) kelihatan ditentukan kegunaannya sebagai 'Infrastruktur dan Utiliti'.


Oleh itu, amat ganjil bila dilaporkan ia bakal menjadi kondominium mewah," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.

Menerusi laporan itu pada Sabtu, sumber DBKL mendedahkan pihak berkuasa tempatan itu telah memberikan kelulusan bersyarat projek apartment mewah di kolam takungan banjir di Jalan Maarof, Bangsar.

Laporan itu menyebut, projek akan dijalankan di sekitar lokasi itu tanpa menutup kolam takungan tersebut.

Fahmi berkata, kolam takungan sedia ada perlu dikekalkan dan berfungsi dengan baik serta berharap lebih banyak kolam takungan dibuat untuk kegunaan apabila berlaku krisis iklim.

Pada masa sama beliau berkata, warga Kuala Lumpur perlu diberitahu status terkini perancangan tebatan banjir kilat termasuk menambah baik saliran serta kolam-kolam takungan banjir.

"Untuk hanya bergantung kepada sejumlah hotspot didirikan mungkin memadai bagi jangka masa pendek atau sementara waktu tapi apakah sebenarnya perancangan jangka masa panjang pihak berkuasa terutama bila melibatkan kawasan-kawasan yang menyaksikan pembangunan begitu pesat?

"Musim hujan lebat berterusan semakin hampir.


Bukan setakat sediakan payung, tapi kita juga mesti sediakan kolam takungan dan saliran yang lebih baik sebelum hujan," katanya.


Sumber: Sinar Harian


15 views

Comments


bottom of page