top of page

Kartel tender sudah membarah


Kartel tender sudah membarah

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Isu mengenai beberapa kumpulan tidak bertanggungjawab mendapatkan tender secara kartel boleh diibaratkan sebagai barah tahap empat berpunca daripada kelemahan sistem cut off yang diguna pakai sejak tahun 2004.


Menurut Timbalan Pre­siden Persatuan Kontraktor Me­layu Malaysia, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz, sistem tersebut mudah dimanipulasi kumpulan kontraktor berprofil tinggi untuk membida tender kerajaan secara kartel tanpa sebarang masalah.


“Kumpulan kartel ini bekerjasama untuk menetapkan harga yang akan menguntungkan mereka selepas memahami kaedah statistik harga sesuatu tender kerajaan dan sekali gus menutup peluang kontraktor kecil seperti G7 hingga G5 bersaing.


“Kerajaan perlu memperhalusi kembali sistem ini ataupun menukarkannya dengan sistem yang lebih telus dan adil kepada semua kontraktor. Kontraktor bumiputera dan Me­layu ba­nyak terkesan dengan kumpulan kartel ini,” ka­tanya kepada Ming­guan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rosdi berkata, kelemahan sistem cut off serta kewujudan kumpulan kartel itu telah menjadi batu penghalang terbesar buat kontraktor bumiputera dan Melayu untuk berkembang maju walaupun sejak sekian lama berusaha.


Katanya, satu kaedah penilaian tender yang lebih menjurus kepada pembangunan kontraktor sebenar perlu dirumuskan kerajaan dan bukan hanya menjurus kepada kontraktor berprofil tinggi semata-mata.


“Berilah keadilan yang sebenarnya dalam isu tender ini. Biarkan mereka yang benar-benar layak dapat kerana adil itu adalah meletakkan hak di tempatnya, bukan sekadar beri sama rata,” katanya.


Mohd. Rosdi menambah, kumpulan kartel itu bukan sahaja menyebabkan kerajaan mengalami kerugian apabila projek dilaksanakan tetapi turut menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekonomi sosial negara.


Sumber: Utusan


81 views
bottom of page