top of page

KAB sasar teroka projek menara telekom di Filipina


Gambar hiasan. Menara telekomunikasi. - NSTP/ MELVIN JONI

KUALA LUMPUR: Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) telah menandatangani memorandum persefahaman tiga pihak dengan konglomerat dari Filipina, LCS Holdings Inc dan ATS Venture Group Sdn Bhd untuk melaksanakan projek menara telekomunikasi di negara berkenaan.


MoU yang ditandatangani hari ini memperkukuhkan hasrat LCS untuk bekerjasama dengan KAB secara penyelesaian siap guna bagi membina dan mengendalikan projek menara telekomunikasi, kontrak yang telah pun diperoleh oleh LCS, kata syarikat kejuruteraan elektrik dan mekanikal itu.


"KAB akan memainkan peranan utama dalam pengaturan kewangan sementara ATS akan menjadi rakan teknologi utama bagi menyokong projek ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata MoU itu merupakan pencapaian terpenting yang baharu bagi penerokaan syarikat dalam industri telekomunikasi.


"Pembabitan dalam segmen perniagaan baharu ini (pembinaan dan pengoperasian menara telekomunikasi akan meningkatkan pendapatan berulang KAB secara berterusan, selain perniagaan yang ada," katanya.


Di bawah projek itu, KAB merancang untuk melabur dan membina 300 menara telekomunikasi, yang masing-masing setinggi 45 meter.


"Saya berharap untuk secara bersama membangunkan kerjasama strategik jangka panjang ini dengan LCS bagi menyokong industri telekomunikasi Filipina, yang telah berkembang pesat selama bertahun-tahun, seiring dengan kepesatan permintaan rakyat Filipina untuk berkomunikasi melalui telefon bimbit, mengakses maklumat melalui internet, penstriman serta memuat turun video," kata Lai.


Selepas projek itu siap, menara telekomunikasi ini akan disewakan kepada Dito Telecommunity Corporation di Filipina, yang dimiliki secara bersama oleh China Telecommunications Corporation, syarikat induk China Telecom, untuk jangka waktu 15 tahun dengan opsyen lanjutan selama 10 tahun lagi.


Konsesi jangka panjang yang ditandatangani dengan Dito ini akan meningkatkan pendapatan berulangnya untuk 25 tahun akan datang.


"Aliran pendapatan baharu ini, yang akan memberikan sumbangan positif kepada KAB, dijangka memberikan pendapatan sebanyak RM15 juta dengan keuntungan sekitar RM3 juta setahun," tambahnya lagi. – Bernama


Sumber: Berita Harian

6 views
bottom of page