top of page

‘Itu baru jambatan, belum lagi projek PSR’


Sekarang, kami tak boleh mandi semua. Itu baru jambatan, belum lagi projek PSR. Dulu, air di sini bersih, cantik, boleh mandi. Sekarang tidak lagi.

BAYAN LEPAS: Umum mengetahui, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dalam usaha menjayakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang melibatkan pembuatan tiga pulau buatan.


Sering kali kita mendengar rintihan nelayan yang bakal terjejas pendapatan mereka akibat daripada projek tersebut. Namun, bagaimana pula dengan pandangan dari penduduk Pulau Pinang sendiri yang menetap di lokasi berdekatan.


Menemui salah seorang penduduk sisir pantai di Permatang Damar Laut, Jaafar Osman, 63, beliau berkata, tiada sebarang rundingan dilakukan bersama penduduk kampung sekitar bagi membangunkan projek tersebut.


Bahkan pihak bertaggungjawab hanya menawarkan pampasan kepada nelayan, namun tidak kepada penduduk yang menurutnya akan turut terjejas akibat daripada projek tersebut.


“Pampasan untuk orang kampung mereka tidak terlibat apa dengan orang kampung, pasai ini yang pertikai ini. Mereka hanya baca masalah nelayan, masalah penduduk sekitar ini bagaimana? Sepatutnya mereka juga layak mendapat pampasan bersama.


“Tetapi tiada. Jadi seolah-olah bermaksud, penduduk jadi tiada hak. Jadi kita hendak tanya kepada kerajaan DAP Pulau Pinang yang melaungkan human right, kami punya human right di mana?


“Di mana hak kami di sini, penduduk. Sepatutnya mereka perlu tengok juga. Kami tidak boleh guna laut, kesan dia kami hendak bersantai-santai tepi laut semua tak boleh (selepas ini).


“Padahal itu hak kami, pembangunan pulau akan menjadi masalah (kepada penduduk). Malah, sebelum ini (pembinaan) jambatan juga kami turut terkesan, sebab selut (hasil dari pembinaan jambatan) datang sebelah sini.


“Sekarang, kami tak boleh mandi semua. Itu baru jambatan, belum lagi projek PSR. Dulu, air di sini bersih, cantik, boleh mandi. Sekarang tidak lagi,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily sebelum ini di kediamannya, di Permatang Damar Laut.


Tambah Jaafar, beliau amat kesal dengan apa yang berlaku, malah yakin bahawa penduduk akan lebih terkesan dan terjejas setelah projek pulau buatan mula dijalankan.


“Kesan daripada projek akan dapat dirasa apabila projek sudah berjalan. Pemaju hendak masuk lori, hendak ambil barang semua.


“Laluan mana mereka akan masuk? Keliling sini kampung orang,” katanya.


Menjelaskan berhubung tinjauan yang dilakukan pihak bertanggungjawab di kawasan sekitar, kata Jaafar, beliau akui terdapat tinjauan dilakukan kepada peniaga di sekitar.


Bagaimanapun, Jaafar menganggap ia adalah satu perkara yang tidak adil memandangkan asas tinjauan tersebut hanya berdasarkan keuntungan yang bakal diperoleh peniaga.


Jelasnya, tinjauan kepada peniaga tentunya mendatangkan maklum balas positif sekiranya berdasarkan pertambahan jualan setelah projek siap dibina.


Namun, perkara itu tidak mendapat jaminan kukuh berhubung perkara sampingan lain.


“Peniaga kita ini akan baca, orang ramai maka perniagaan mereka laku. Tetapi mereka tidak baca orang yang duduk di situ nanti, orang macam mana? Adakah mereka mahu makan, kedai macam ini?


“Silap-silap mereka kompelin jalan sempit, kemudian tutup semua kedai tepi jalan. Di situ tentunya akan menjadi kawasan eksekutif sahaja,” ujarnya.


Sumber: Harakah Daily

17 views
bottom of page