top of page

'Isu kesesakan lalu lintas di Taman Puncak Jalil, Lestari Putra sedang diatasi'


'Isu kesesakan lalu lintas di Taman Puncak Jalil, Lestari Putra sedang diatasi' Berita Harian www.bharian.com.my
Laluan kontra diwujudkan bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Taman Puncak Jalil. - NSTP/ihsan Ng Sze Han

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif menyelesaikan masalah dihadapi lebih 20,000 penduduk di Taman Puncak Jalil dan Lestari Putra, Seri Kembangan, dengan melaksanakan langkah mitigasi kesesakan lalu lintas di kawasan itu secara serta-merta.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan negeri, Ng Sze Han, berkata bagi melancarkan aliran trafik di Taman Puncak Jalil, pihaknya akan menyediakan pengawal lalu lintas untuk menjaga simpang di lampu isyarat di kawasan berkenaan.


Bagi tujuan itu, katanya, pihak kontraktor akan menempatkan kakitangan mereka dengan kadar segera.


"Kita juga akan mewujudkan 'laluan kontra' pada waktu puncak sebelah petang di Persiaran Puncak Jalil berkuat kuasa serta-merta.


"Bagi waktu puncak di sebelah pagi, kesesakan di kawasan berdekatan bangunan SIRIM Bukit Jalil membabitkan kontraktor yang berlainan di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Pihak DBKL juga sudah diminta menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit," katanya kepada BH, hari ini.


Petang tadi, satu mesyuarat diadakan kerajaan negeri bersama pihak berkepentingan dalam projek Langat 2 di Taman Puncak Jalil yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.


Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Zon 18, Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Kontraktor Suhati Sdn Bhd, Syarikat Perunding PZK dan Pengurusan Aset Air Bhd.


Media sebelum ini melaporkan, Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan sistem agihan dilaksana oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengalami kelewatan berbanding jadual asal.


Kemajuan projek itu sehingga Mei lalu adalah 90.32 peratus berbanding sasaran asal iaitu 92.58 peratus.


LRA Langat 2 mempunyai kapasiti reka bentuk pengeluaran air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari sudah disiapkan dan diaktifkan bermula Disember 2019, namun sistem agihan bagi LRA Langat 2 yang merangkumi koridor barat dan koridor utara masih dalam peringkat pembinaan dan akan siap sepenuhnya pada akhir 2023.


Sementara itu, Sze Han berkata, bagi kawasan Lestari Putra 1 hingga 6 pula, laluan sempit di kawasan terbabit disebabkan kerja pemasangan paip sepanjang 40 meter dijangka diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.


"Sesi libat urus dengan penduduk dijangka dijalankan pada minggu depan," katanya.


Beliau berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam satu mesyuarat petang tadi bersama pihak berkepentingan dalam projek Langat 2 di Taman Puncak Jalil.


Sumber: Berita Harian


4 views
bottom of page