top of page

Isu air: Model struktur semula WSIA bantu hasil kos berpatutan


Isu air: Model struktur semula WSIA bantu hasil kos berpatutan

Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.


Pengumuman itu disertakan bersama jaminan proses pelarasan tarif air tidak akan membebankan rakyat sebelum disambut ‘dakwaan’ beberapa Ketua Menteri dan Menteri Besar bahawa Kerajaan Persekutuan meminta kerajaan negeri menaikkan tarif air.


Adakah kenyataan dari kedua-dua pihak betul dan apa yang sebenarnya patut berlaku?

Industri perkhidmatan air mencakupi perawatan dan bekalan air serta perkhidmatan pembetungan. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dilaksanakan kerana pencapaiannya tidak memuaskan dan hanya membabitkan Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan.


Isu berkaitan struktur industri, ketelusan, kekurangan pembangunan infrastruktur, air tidak terhasil (NRW), kegagalan dalam penswastaan (perjanjian konsesi) dan struktur kos (tarif) adalah sebab utama Kerajaan Persekutuan meyakinkan Majlis Raja-Raja untuk meneruskan pelaksanaan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).


Akhirnya, WSIA diluluskan Parlimen dengan pindaan dalam enakmen negeri untuk memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan dalam perawatan dan bekalan air, yang sebelum ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


Penetapan tarif secara telus

Melalui WSIA dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006, SPAN ditubuhkan untuk mengawal selia industri perkhidmatan air.


Syarikat perkhidmatan air dilesenkan dan dikawal selia, manakala kerajaan negeri melalui syarikat air masing-masing perlu mengemukakan pelan perniagaan 30 tahun untuk kelulusan SPAN. Ini ketetapan diguna pakai.


Dalam proses penstrukturan semula, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pula ditubuhkan untuk memastikan pembinaan infrastruktur perkhidmatan air dapat diteruskan dengan kadar faedah pinjaman yang jauh lebih murah daripada institusi kewangan biasa.


Seperti juga pemegang lesen perkhidmatan air, PAAB dikawal selia oleh SPAN. Apabila sesebuah projek siap, kerajaan negeri akan membayar yuran pajakan melalui syarikat airnya kepada PAAB.


Tempoh pajakan mesti berasaskan tiga jenis, iaitu jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang. SPAN mesti mengaudit operasi PAAB untuk menentukan kos kepada tarif melalui yuran pajakan adalah adil dan berpatutan.


Melalui kaedah pinjaman daripada PAAB, kita dapat membangunkan lebih banyak infrastruktur perkhidmatan air terawat, tanpa impak tinggi kepada tarif air.


Sejak 2007, isu penetapan tarif air menjadi topik utama. Menjelang 2009, ia dipersetujui bahawa Proses Penetapan Tarif Secara Telus akan digunakan untuk memastikan setiap pengguna memahami isu kos berkaitan dengan tarif air. Malangnya, pengawal selia ‘malas’ untuk menggunakan kaedah ini kerana ia membabitkan banyak kerja.


Pelarasan setiap tiga tahun

Tarif air akan diselaraskan setiap tiga tahun sebagai permulaan mencapai kecekapan perkhidmatan tinggi. Selepas kitar penetapan ini, kita akan beredar kepada kitar penetapan lima tahun sekali.


Setiap syarikat air perlu kemukakan cadangan pelarasan tarif dalam tempoh ditetapkan untuk tujuan audit dan perundingan awam oleh SPAN. Jika tarif baharu diluluskan, ia akan diwarta bagi tujuan pelaksanaan dan syarikat air yang terlepas tempoh pelarasan ini, perlu tunggu tiga tahun lagi bagi tujuan pelarasan tarif.


SPAN juga perlu melakukan proses penanda aras untuk menetapkan input kos yang boleh disalurkan kepada tarif air. Kita mempunyai kos berlainan bagi perawatan serta bekalan air dan sistem pembetungan.


Sebagai contoh, mungkin terdapat 15 loji perawatan air menggunakan teknologi sama untuk merawat air mentah dengan kualiti hampir sama.


SPAN perlu mendapatkan kos perawatan setiap meter padu termasuk kos elektrik, bahan kimia dan modal insan bagi setiap meter padu. Jika kos terendah adalah 12 sen setiap meter padu, SPAN akan tetapkan 12 sen setiap meter padu sebagai penanda aras.


Bagi loji beroperasi dengan kos lebih tinggi, hanya kos 12 sen setiap meter padu akan dilulus untuk disalurkan kepada tarif air dan loji ini perlu meningkatkan kecekapan mereka. Ini dipersetujui dari awal.


Penanda aras sebegini akan dikenakan kepada setiap komponen input kos kepada tarif, untuk memastikan pengguna tidak membayar tarif air tinggi disebabkan ketidakcekapan syarikat air.


Inilah sebab saya menggunakan perkataan ‘pelarasan tarif’ kerana dalam proses ini, ada kemungkinan berlaku kenaikan, tiada perubahan atau penurunan tarif.


Malaysia contoh terbaik

Beberapa tahun lalu, SPAN membelanjakan wang cukup tinggi untuk membangunkan modul penetapan tarif melalui perunding swasta dan data sudah pun mula dikumpul untuk beberapa tahun.


Maka wajar mereka gunakan kaedah ini bagi pelarasan tarif. Kalau Xavier merujuk apa yang saya jelaskan, pelarasan tarif tidak akan membebankan rakyat, malangnya bukan ini dilakukan SPAN.


Pada awal Disember lalu, dalam sesi konsultasi pelarasan tarif air bagi sebuah negeri, SPAN mengakui tidak akan menggunakan kaedah penanda aras kos disebabkan julat penggunaan air bagi tarif dikenakan setiap negeri adalah berbeza.


Sebaliknya, kaedah tambah kos atau cost plus membabitkan penambahan margin keuntungan yang dikawal selia ke atas cadangan unjuran kos ke hadapan akan digunakan. Jika ini dilaksanakan, pelarasan tarif memang akan membebankan rakyat.


AWER menyeru Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli mendapatkan pandangan sepenuhnya dan tidak hanya bergantung ‘cerita dongeng’ pegawainya sahaja yang melakukan proses wayang kulit lebih 10 tahun.


Model Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dan model WSIA akan membangunkan Malaysia sebagai contoh terbaik dalam perkhidmatan air dengan tarif yang berpatutan di mata dunia.


Kita akan menjadi rujukan dunia, namun mengapa biarkan pegawai malas dan tidak kompeten menidakkan potensi kedudukan di mata antarabangsa.



9 views
bottom of page