KUALA LUMPUR: Industri pembinaan amat memerlukan simen mesra alam, juga dikenali sebagai 'simen hijau', terutama ketika negara menuju ke arah merealisasikan aspirasi untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Bhd, Datuk Azmir Merican, berkata pada masa ini, tiada bahan pengganti yang diketahui untuk simen sambil menambah industri simen adalah antara pemancar karbon dioksida (CO2) tertinggi.
Dilaporkan bahawa pengeluaran simen menyumbang sebanyak tujuh hingga lapan peratus daripada pelepasan CO2 global.
"Simen adalah bahan buatan manusia yang paling banyak digunakan di muka bumi ini. Kira-kira 4.6 bilion tan simen digunakan setiap tahun.
"Ya, kita mahu mencapai sifar bersih (pelepasan rumah hijau) tetapi kita tidak mempunyai teknologi hari ini," katanya semasa persidangan 2022 'Cooler Earth Sustainability – Facilitating a Just Transition' di sini.
Azmir berkata, ekosistem industri pembinaan secara keseluruhannya perlu berkembang sementara industri pengangkutan, yang menjadi pemancar CO2 terbesar juga adalah sebahagian besar daripada sektor pembinaan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata bank itu telah menetapkan sasaran khusus untuk pelepasan dibiayai dalam sektor simen, komited untuk mengurangkan keamatan fizikal lebih daripada 35 peratus daripada 0.72 tan bersamaan CO2 setiap tan simen yang dihasilkan pada 2021 kepada 0.46 tan bersamaan CO2 menjelang 2030.
Justeru, beliau berkata CIMB Group memerlukan komitmen pelanggan untuk bekerjasama dan bank akan membangunkan pelan libat urus dan pelaksanaan pelanggan untuk pelbagai sektor dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Sumber: Berita Harian
Comentarios