top of page

Individu berpangkat Datuk didakwa tipu tawaran tender projek kerajaan


Individu berpangkat Datuk didakwa tipu tawaran tender projek kerajaan
Seorang individu berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki lain berkenaan tawaran tender projek kerajaan bernilai RM 8 juta, Oktober tahun lalu. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

Individu berpangkat Datuk didakwa tipu tawaran tender projek kerajaan

KUALA PILAH – Seorang individu berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki lain berkenaan tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta, Oktober tahun lalu.


Tertuduh Datuk Nasarudin Mahmud, 57, yang juga bekas setiausaha sulit kanan bekas timbalan menteri, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menipu seorang lelaki supaya mempercayai telah membuat urusan suatu tawaran tender projek kerajaan dengan harga RM8 juta dan telah curangnya mendorong lelaki itu mempercayai akan menguruskan tender projek tersebut.


Lelaki itu telah memindahkan wang berjumlah RM 382,000 ke dalam akaun tertuduh dan serahan wang tunai berjumlah RM 67,000 yang mana lelaki itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 6 Oktober 2022 hingga 18 Oktober 2022 di sebuah Pejabat di Mukim Tampin Tengah.


Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Eddin Syazlee Shith secara pro bono dan Syed Amirul Syed Edros.


Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.


Bagaimanapun, beliau mencadangkan sekiranya jaminan diberikan jumlah jaminan perlu mengambil kira faktor kerugian berjumlah RM449,000.


Eddin Syazlee memohon Mahkamah untuk mempertimbangkan beberapa keadaan antaranya kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan walaupun tidak boleh dijamin namun penipuan adalah dalam kategori paling rendah.


“Tertuduh melalui proses sukar baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) berpindah ke hospital kerajaan menghadapi kesulitan membayar bil di IJN. Beliau mempunyai masalah jantung kritikal yang memerlukan urusan segera menjalankan pembedahan.


“Tertuduh juga mempunyai penyakit buat pinggang tahap empat. Keadaan-keadaan ini menyebabkan beliau (tertuduh) memerlukan kebenaran jamin untuk mendapatkan rawatan susulan untuk beliau buat persiapan.


“Untuk rekod saya menawarkan diri secara probono tanpa bayar,” katanya.


Syed Amirul pula dalam rayuannya menyatakan tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada polis apabila diarahkan polis bagi menyerahkan diri semalam dan tiada tidak wujud keadaan risiko melarikan diri.


“Tertuduh mengalami kesukaran kewangan dan mohon jaminan paling minimum,” katanya.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.


Sumber: Kosmo!


Individu berpangkat Datuk didakwa tipu tawaran tender projek kerajaan


11 views
bottom of page