top of page

Tender terhad juga terdedah kepada penyelewengan – Wira Putra


Tender terhad juga terdedah kepada penyelewengan – Wira Putra Malaysia Gazette www.malaysiagazette.com
Gambar hiasan: Tender terhad juga terdedah kepada penyelewengan – Wira Putra

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra menyambut keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok melalui proses tender terhad.


Bagaimanapun, ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, Anwar perlu mengambil maklum secara serius dan tegas kerana kaedah tender terhad juga boleh berlaku ketirisan dan penyelewengan.


Katanya, jika berlaku, kos yang bakal dibelanjakan itu nanti akan merugikan wang negara.


“Ia adalah kaedah yang baik dan mampu menjimatkan masa, tetapi masih terdapat salah laku atau penyelewengan yang boleh berlaku yang akhirnya tetap merugikan wang negara.


“Harga tender terhad juga boleh melambung tinggi jika tidak ada mekanisme yang berkesan serta pemantauan teliti ketika proses tender ni dilaksanakan.


“Lazimnya, pihak atasan atau pihak berkepentingan akan menamakan secara senyap syarikat yang akan ditawarkan. Ini sama dengan mengenal pasti syarikat untuk diberi projek secara rundingan terus,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ketika melawat mangsa banjir di Kelantan pada Rabu lalu, Anwar dilaporkan berkata, PLSB Sungai Golok atau Tebatan Banjir Fasa 1 dan 2 bukan sahaja akan diteruskan malah dipercepatkan tanpa kos berlebihan.


Beliau menjelaskan, projek itu ditangguh seketika kerana beliau mahu ia dijalankan melalui proses tender walaupun tender terhad.


Menurut Anwar, langkah tersebut perlu diambil bagi memastikan tiada kos berlebihan digunakan dan memberi jaminan peruntukan berkaitan akan disegerakan sebaik sahaja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghantar laporan kepada Kementerian Kewangan.


Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan berkata, apa saja penyelewengan dan salah guna kuasa pasti berlaku kalau tatakelola dan pengurusan tidak dilakukan secara telus serta berintegriti.


“Kita bangga dengan cerdik pandai dan profesional dalam kerajaan tapi kerana mereka cerdik pandai dan profesional, maka terdapat mereka yang dapat atur penipuan dengan cara halus, tapi kelihatan patuh terhadap peraturan atau rule of law,” katanya.



10 views

תגובות


bottom of page