top of page

HSS Engineers sasar menang kontrak RM300 juta


HSS Engineers sasar menang kontrak RM300 juta
Buku tender HSS Engineers kini bernilai RM415 juta

HSS Engineers sasar menang kontrak RM300 juta

KUALA LUMPUR: Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineers Bhd (HEB) menyasarkan untuk memenangi kontrak baharu bernilai RM300 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.


Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir Kunasingam Sittampalam, berkata buku tender kumpulan itu bernilai RM415 juta, dengan kadar kejayaan sebanyak 50 peratus berdasarkan rekod prestasinya dalam kejuruteraan, penyeliaan dan pengurusan projek.


Beliau berkata, segmen rel merangkumi 50 peratus daripada jumlah projek dalam buku tender, manakala air mewakili 25 peratus, lebuh raya (15 peratus), dan infrastruktur (10 peratus).


"Kesemua ini adalah projek-projek di Malaysia dan ia tidak termasuk (projek) di luar negara," katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini.


Kunasingam berkata, sasaran 2023 adalah lebih rendah daripada sasaran RM500 juta pada 2022 kerana ia telah ditetapkan awal tahun ini apabila terdapat banyak ketidaktentuan dalam pasaran, termasuk senario politik tempatan.


"Kami akan mengkaji semula sasaran ini pada separuh kedua tahun ini.


"Dengan pelancaran transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang, Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Johor, (projek) tebatan banjir, Lebuhraya Pan Borneo (yang diumumkan)...mungkin kami harus mengubah sasaran ini," katanya.


Sementara itu, Kunasingam berkata HEB menjangkakan segmen yang baru diceburinya, pusat data, akan menyumbang sehingga 15 peratus kepada jumlah hasil kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan prospeknya yang menjanjikan pada masa hadapan.


Beliau berkata, kumpulan itu telah mencapai kemajuan yang baik dalam menyokong pusat data Malaysia yang semakin berkembang dan baru-baru ini memperoleh kontrak RM8.9 juta untuk menyediakan reka bentuk kejuruteraan profesional dan perkhidmatan perundingan bagi cadangan pusat data Infinaxis Data Centre Sdn Bhd di Cyberjaya.


Sebelum itu HEB memenangi kontrak RM8.8 juta pada Januari 2023 untuk menyediakan perkhidmatan perundingan pengurusan projek pusat data Yellowwood dan pencawang elektriknya di Sedenak Tech Park, Johor, katanya.


Pada masa ini, perolehan nilai kontrak HEB berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi projek-projek nasional berimpak tinggi seperti kerja-kerja perundingan pengurusan projek untuk Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, kerja-kerja perkhidmatan kejuruteraan untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) dan projek-projek sektor air.


Sumber: Berita Harian


HSS Engineers sasar menang kontrak RM300 juta

bottom of page