top of page

HSS Engineers catat untung bersih lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih HSS Engineers Bhd (HEB) melonjak kepada RM5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM200,000 yang yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
HSS Engineers Bhd (HEB)

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih HSS Engineers Bhd (HEB) melonjak kepada RM5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM200,000 yang yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.


Prestasi kewangan positif yang dicatatkan perunding kejuruteraan dan pengurusan projek itu disokong sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen perundingan pengurusan projek (PMC).


"Ini adalah hasil stabil sebanyak RM40.4 juta pada suku ketiga 2022 berbanding RM42.9 juta pada suku yang sama sebelumnya," demikian menurut HEB dalam satu kenyataan.


HEB merekodkan sumbangan sulung daripada kerja-kerja Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sebagai PMC sejak Ogos 2022.


Bersama-sama dengan kerja-kerja PMC untuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, pendapatan segmen itu meningkat 38.6 peratus kepada RM13.2 juta daripada RM9.5 juta setahun tahun lalu.


Hasil daripada segmen Perkhidmatan Kejuruteraan berjumlah RM24.6 juta pada suku ketiga 2022 berbanding RM31.2 juta sebelumnya selaras dengan kemajuan projek.


Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih HEB meningkat lebih dua kali ganda kepada RM11.5 juta berbanding RM3.8 juta sebelum ini disokong campuran produk yang menggalakkan, walaupun hasil merosot kepada RM114.7 juta daripada RM125.8 juta setahun lalu.


Dengan projek yang sedang dilaksanakan, kumpulan menjangkakan aliran menaik keuntungannya akan dikekalkan pada suku akan datang, dengan tahun kewangan 2022 berakhir pada prestasi yang stabil.


Pada 30 September 2022, kontrak dalam tangan HEB yang belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion, yang mana akan dibilkan dalam tempoh lapan tahun akan datang.


Kontrak itu termasuk projek yang dimenangi pada tahun ini, seperti PMC untuk MRT3, perkhidmatan perundingan untuk infrastruktur dan rangkaian 5G Malaysia oleh Digital Nasional BHd (DNB), menaik taraf jambatan Sungai Marang di Marang, Terengganu dan pelantikan lanjutan untuk menaik taraf loji rawatan air oleh Kerajaan Negeri Kedah.


Naib Pengerusi Eksekutif HEB, Tan Sri Ir Kuna Sittampalam, berkata dengan kontrak dalam tangan, kumpulan itu sedang mengembangkan segmen kejuruteraan secara agresif untuk memenuhi aktiviti yang lebih tinggi berikutan kejayaan memperoleh kontrak MRT3 bernilai RM997.9 juta, serta pelbagai projek tebatan banjir dan infrastruktur tempatan.


"Kami optimis untuk mengekalkan aliran menaik yang ketara pada tahun kewangan 2022 sambil terus mengorak langkah penting dalam peranan PMC dan semakan rakan sebaya untuk MRT3, pakej kerja berkaitan air untuk Negeri Selangor, serta projek tebatan banjir kritikal misi merentas pelbagai negeri di Malaysia," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page