top of page

Hanya 30 projek pembangunan ditangguh - Mustapa


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 projek bernilai kira-kira RM100 juta daripada 7,243 projek pembangunan yang diluluskan tahun ini diputuskan untuk ditangguhkan, dalam usaha melaksanakan langkah penjimatan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kriteria projek yang ditangguhkan itu adalah projek baharu dan sedia ada, yang belum dimulakan proses perolehan serta belum diiklankan.


Beliau berkata, antara projek itu ialah pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal serta projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara di bawah Kementerian Sumber Manusia dan projek penyelidikan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Selain itu, projek bukan keutamaan yang dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat serta projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.


Mustapa berkata, Kementerian Kewangan; Kementerian Kerja Raya; Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (EPU) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengadakan sesi libat urus dengan semua kementerian dan jabatan sebelum keputusan muktamad mengenai projek yang akan ditangguhkan dilaksanakan.


"Sesi libat urus ini akan berterusan minggu depan. Kita akan adakan pertemuan dengan semua kementerian untuk pastikan mana-mana yang perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat diteruskan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanya mengenai jumlah projek yang sudah diputuskan untuk ditangguhkan daripada 7,243 projek pembangunan bernilai RM75.6 bilion yang diluluskan untuk pelaksanaan bagi tahun ini.


Mustapa berkata, projek seperti MRT Laluan Lingkaran (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan seperti dirancang.


"Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca-COVID-19," katanya.


Sumber: Berita Harian

65 views
bottom of page