top of page

Gempa bumi: Rujuk peta bahaya seismik sebelum reka bangunan


Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk sebelum membuat reka bentuk struktur bangunan di Malaysia sebagai persediaan negara menghadapi risiko ancaman gempa bumi.


NRECC dalam kenyataannya berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sudah menjalankan Projek Pemetaan Sesar Aktif dan Kawasan Risiko Gempa Bumi di Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak.


Katanya, JMG juga sudah memasang sejumlah enam stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) aktif di Sabah dan 54 PAG pasif di enam negeri iaitu Pahang (13), Selangor (enam), Perak (dua), Negeri Sembilan (dua), Sarawak (dua) dan Sabah (29).


"Stesen ini bertujuan memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan kejadian gempa bumi dan ia dipantau secara masa nyata (real time).


"JMG sudah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada tahun 2019 yang mencirikan zon-zon bahaya bencana seismik berdasarkan PAG yang akan digunakan sebagai rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan yang tahan gegaran gempa bumi.


"Nilai-nilai PAG dalam peta bahaya seismik sudah dimasukkan dalam Malaysian Standard MS EN 1998-1:2015 (National Annex:2017): Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance - Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.


Muka depan Harian Metro hari ini menyiarkan lima lokasi di Semenanjung Malaysia berisiko berdepan dengan gegaran gempa bumi termasuk sehingga 6 magnitud berikutan negara dikatakan bukan lagi berada di luar Lingkaran Api Pasifik.


Bagaimanapun pakar berbeza pendapat mengenai kemungkinan itu.


Mengulas lanjut, NRECC dalam kenyataannya berkata berdasarkan kepada bukti empirikal, Malaysia juga mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi.


"Sebagai langkah mitigasi jangka panjang, JMG menjalakankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.


"Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi," katanya.


Menurut kenyataan itu, secara amnya, kesan gempa bumi di Malaysia adalah berpunca daripada gempa bumi yang berjarak jauh dan tempatan.


"Kesan gegaran gempa bumi jarak jauh di Semenanjung Malaysia adalah berpunca dari jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia, manakala di Sabah dan Sarawak berpunca daripada jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia yang adalah sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik.


"Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada tahun 1923, 1958, 1976 dan 2015.


"Rekod gegaran paling kuat di Sarawak adalah dengan kekuatan 5.3 skala Richter pada tahun 1994.


Manakala di Semenanjung Malaysia juga pernah mengalami beberapa kejadian gempa bumi dengan pusat gempa di Bukit Tinggi Pahang, Empangan Kenyir Terengganu, Kuala Pilah Negeri Sembilan, dan Manjung serta Temenggor di Perak dengan julat kekuatan 1.6 hingga 4.6 skala Ritcher yang berlaku pada tahun 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010, dan 2013," katanya.


Kenyataan NRECC berkata, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung Malaysia.


Katanya, magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan.


"Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan," katanya.


Sumber: Harian Metro

15 views

Comments


bottom of page