
KUALA LUMPUR: Dialog Group Bhd mengekalkan keuntungan bersih sebanyak RM127.5 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM127.88 juta bagi tempoh sama pada tahun kewangan sebelum ini.
Perolehan bagi suku yang dikaji meningkat kepada RM797 juta berbanding RM544.49 juta sebelum ini, terutamanya disebabkan peningkatan aktiviti kejuruteraan, pembinaan dan penyelenggaraan loji di Malaysia dan operasi antarabangsa.
Bagi tempoh separuh tahun, kumpulan mencatat keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM259.2 juta, namun meraih perolehan lebih tinggi sebanyak RM1.5 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu sektor tenaga itu berkata, perniagaan huluannya merekodkan perolehan tinggi pada suku kewangan semasa dan sehingga kini, berikutan harga minyak tinggi.
Bagaimanapun, margin keuntungan daripada perniagaan hiliran adalah rendah disebabkan kos operasi lebih tinggi.
"Di peringkat antarabangsa pula, sumbangan perolehan dan keuntungan adalah tinggi bagi suku kewangan semasa dan sehingga kini, dengan jualan produk dan perkhidmatan pakar yang meningkat di pelbagai negara serta peningkatan aktiviti kejuruteraan, pembinaan dan penyelenggaraan di Singapura dan aktiviti fabrikasi di New Zealand," katanya.
Dari segi prospek, Dialog berkata, ia akan mengembangkan perniagaan huluan dan melaksanakan kepelbagaian merentasi aliran perniagaannya.
"Pada masa depan, kami akan giat mencari peluang untuk meningkatkan perkhidmatan dan aset pembangunan dan pengeluaran, di samping mengguna pakai teknologi baharu untuk menguruskan pelepasan gas rumah hijau," katanya.
Bagi perniagaan hiliran, Dialog akan terus memanfaatkan dan membina rekod prestasi dalam perkhidmatan teknikal bersepadu yang terdiri daripada kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian, penyelenggaraan loji dan perkhidmatan pengendalian pemangkin serta produk dan perkhidmatan pakar.
"Berikutan persekitaran ekonomi diramal kekal mencabar dalam jangka pendek hingga sederhana, kami akan terus membina dan memperkukuh kecekapan dengan cara melabur dan melatih tenaga kerja dengan pelbagai kemahiran bagi memastikan kami kekal efisien dan berdaya saing," katanya.
Kumpulan itu kekal optimis mengenai prestasi positifnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.
Lembaga pengarah belum mengesyorkan sebarang dividen interim bagi tempoh kewangan semasa.
Sumber: Berita Harian
Comments