top of page

Bina Puri menang bidaan projek HSR bernilai RM1.036 bilion



KUALA LUMPUR – Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri) melalui anak syarikat milik penuhnya, Bina Puri Sdn. Bhd. (BPSB) telah memenangi bidaan berjumlah 7.75 bilion baht (RM1.036 bilion) bagi projek membina landasan keretapi berkelajuan tinggi (HSR) bagi menghubungkan Bangkok ke Nong Khai.


Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee berkata, BPSB bersama NPA ­Construction Co. Ltd. dan Tim Sekata Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian usaha sama menubuhkan SPTK Joint Venture Company Limited bagi melaksanakan pembinaan projek tersebut.


Projek berkenaan merupakan hasil usaha sama antara Kerajaan Thailand dan Kerajaan Republik Rakyat China.


Matthew berkata, perubahan senario politik serta ancaman Covid-19 yang sedang melanda memberi impak besar kepada sektor pembinaan, terutamanya di Malaysia, namun ia tidak menjejaskan semangat syarikat untuk terus membida projek baharu dalam negara dan luar negara.


“Kami terus mencuba seba­iknya bagi memastikan penga­liran masuk pendapatan.


“Selepas kerja keras berbulan-bulan termasuk proses membida serta rundingan, usaha ini ­akhirnya telah membuahkan ha­sil,” katanya dalam kenya­taan yang dikeluarkan di sini semalam.


Projek itu melibatkan jajaran pembinaan sepanjang 13.68 kilometer (km) termasuk pembinaan landasan sejauh 12.38 km.


Ia juga bakal menempatkan dua buah stesen keretapi iaitu Stesen Phu Kao Lat yang merupakan stesen baharu yang bakal dibina serta stesen Nakorn Rat­chasima yang akan di naik taraf.


Kerja lain termasuk kerja-kerja tanah, pembinaan tembok penahan, tembok halangan kalis bunyi, pembinaan bangunan servis dan stesen yang mana ia juga meliputi kerja elektrik, mekanikal, jalan raya, kerja paip, saliran serta utiliti lain.


Bina Puri mula memasuki Thailand sejak 2003 dan telah me­nyiapkan sejumlah 26 buah projek berjumlah hampir RM2 bilion di negara gajah putih itu.


Menurut Matthew, menerusi kontrak itu, jumlah projek pembinaan bagi Kumpulan telah me­ningkat kepada RM1.9 bilion.


Sumber: Kosmo!


1,866 views
bottom of page