top of page

Beli rumah ketika pandemik


AZHAR membuat persiapan dengan menyiapkan 15 peratus jumlah simpanan bagi pembelian rumah pertamanya.

LEBIH tiga tahun menyandang profesion guru prasekolah di Sekolah Pusat Bandar Puchong 1, Puchong, Selangor, Azhar Husin, 29, mengakui berdepan cabaran getir dalam membeli kediaman pertama apatah lagi perlu ada simpanan kukuh bagi pembayaran deposit.


Katanya, pengalaman membeli hartanah pertama dulu perlu ada simpanan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada nilai harga rumah yang ingin dimiliki.


Akuinya, pembeli rumah sekunder sepertinya perlu mengeluarkan sebahagian simpanan kerana tiada rebat daripada pemaju selain persiapan kos luar jangka seperti caj menilai hartanah, guaman dan sebagainya.


"Saya mula membuat tinjauan untuk membeli hartanah pertama sejak Januari lalu dan hanya menemui unit kediaman sesuai iaitu sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, Selangor pada Julai lalu.


"Pada masa sama saya mulakan pencarian dengan projek rumah mampu milik kerajaan tetapi lokasi diinginkan di Puchong Utama 'sudah penuh' selain senarai menunggu yang ramai.

AZHAR

"Kemudian saya memutuskan untuk membeli rumah sekunder apabila mengenali ejen hartanah Mary Choo menerusi dalam talian," katanya.


Tidak dinafikan cabaran lain termasuk pandemik Covid-19 menyukarkan pencarian rumah, namun Azhar tekad kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan harga kediaman yang menarik.


"Banyak faktor mendorong saya tekad untuk teruskan hasrat membeli rumah dalam situasi Covid-19 ini.


"Meskipun simpanan tidak banyak kerana saya baharu bekerja tidak sampai empat tahun, namun sebaik memikirkan situasi ketika ini adalah satu peluang, saya tekad untuk terus membeli kediaman itu," katanya.

RUANG dalam unit kediaman dibeli Azhar selesa.

Faedah membeli kediaman ketika pandemik ini, kata Azhar banyak bank dan syarikat kewangan menawarkan kadar faedah pinjaman rumah yang rendah selain penawaran harga rumah lebih rendah daripada harga pasaran sebelum ini.


Kata Azhar, dia bersyukur selain faedah rendah, bank membiayai pinjaman perumahannya turut memberi kadar pinjaman 100 peratus membolehkannya menggunakan wang tunai tambahan untuk keperluan lain.


"Memang penjawat awam mempunyai kelebihan termasuklah kadar pinjaman 100 peratus untuk kediaman tetapi bukan mudah.


"Saya bernasib baik apabila salah satu dalam senarai bank dipohon, menawarkan pinjaman penuh dengan kadar faedah rendah iaitu 2.5 + 1.1 peratus.


"Ansuran RM900 setiap bulan pada saya tidak begitu membebankan berdasarkan kenaikan gaji pada masa akan datang selain hasrat untuk sewakan bilik kepada orang luar," katanya.


Ditambah dengan pemilihan lokasi dan unit kediaman jenis pangsapuri kos sederhana sebagai hartanah pertama masih berbaloi kerana nilai belian unit itu sepadan dengan jumlah sewaan.

"Saya memang ada impian membeli hartanah jenis teres kerana kediaman keluarga di kampung juga di atas tanah dan rumah sewa sebelum ini juga jenis sama.


"Tetapi untuk pasaran Kuala Lumpur atau Selangor, bagi jenis hartanah yang sama, rata-rata harganya mencecah lebih RM400,000. Ia terlalu mahal berbanding kemampuan saya," katanya.


Justeru, kata Azhar prospek baik adalah unit kediaman jenis pangsapuri antara pilihan sesuai selain kedudukan kediamannya itu sangat strategik.


"Keadaan itu membuatkan saya tertarik membeli unit pangsapuri ini kerana keluasan 900 kaki persegi masih selesa diduduki bagi saya yang masih bujang atau berkeluarga nanti.

KEDUDUKAN strategik apabila dekat dengan pusat membeli-belah, hospital dan pengangkutan awam.

"Kediaman ini ada empat bilik tidur dan dua bilik air. Saya merancang untuk sewakan pada orang luar bagi menampung ansuran bulanan," katanya.


Kadar sewaan unit di kawasan berkenaan dikatakan boleh mencecah RM700 hingga RM 800 sebulan.


Nilai tambah lain membuatkan Azhar tertarik memiliki kediaman itu antaranya akses lebuhraya mudah seperti Lebuhraya Maju (MEX) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).


"Saya mempunyai ramai kawan tinggal dalam kejiranan pangsapuri ini jadi, saya sudah biasa dengan persekitaran di sini.


"Semua kemudahan dekat, baik pasar raya, hospital dan pengangkutan awam seperti stesen MRT terletak berhampiran.


"Kedudukan strategik iaitu akses lebuh raya membolehkan saya sampai ke Kuala Lumpur atau bandar sekitar dengan pantas," katanya.


Sumber: Harian Metro

116 views
bottom of page