top of page

Banjir terbesar di Seremban musnahkan pusat rekreasi



Seremban: Pusat rekreasi Kampungstay Haji Sulaiman (KHS) di Kampung Kuala Sawah Rantau, di sini, kerugian kira-kira RM260,000 apabila pelbagai kemudahan dan peralatan musnah susulan banjir besar yang berlaku Rabu lalu.


Pengerusi KHS, Datuk Hanafi Sulaiman berkata, pusat yang menempatkan tiga unit rumah banglo, dua chalet, dewan mesyuarat, dewan kuliah, surau, pejabat, dewan terbuka serta kantin itu mengalami kerosakan teruk.


Katanya, pelbagai peralatan elektrik dan pembesar suara turut rosak manakala dua kolam rekreasi turut terjejas.


"Kesan daripada banjir terbesar juga menyebabkan laluan ke pusat penginapan ini terputus susulan kejadian tebing sungai yang runtuh sekali gus membahayakan keselamatan orang ramai.


"Kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM260,000," katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang juga Ahli Parlimen Rembau di lokasi berkenaan, di sini, tadi.


Hanafi berkata, KHS diuruskan Koperasi Haji Sulaiman yang bernaung di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan.


Beliau berkata, pihaknya menjangkakan penutupan pusat rekreasi itu selama enam bulan.


"Itu pun akan bergantung sejauh mana kerja baik pulih terhadap tebing sungai yang runtuh itu dapat segera disiapkan," katanya.


Dalam kejadian banjir itu, enam penempatan di kawasan sekitar kampung berkenaan terjejas iaitu Kampung Stesen, Kampung Pasir, Pekan Kuala sawah, Kampung Jed dan Taman Kristal.


Sementara itu, Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Sembilan berkata, pihaknya sudah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM500,000 untuk membina semula tebing sungai yang runtuh.


Beliau sudah mengarahkan Pejabat Pembangunan Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengadakan perbincangan secepat mungkin. supaya projek berkenaan dapat diberikan keutamaan.


"Tindakan membaik pulih tebing yang runtuh dan membina semula laluan ke kampung itu penting untuk memudahkan penduduk yang terjejas.


"Selain itu, kita juga khuatir kemungkinan boleh berlaku runtuhan baharu yang menjejaskan keselamatan orang ramai," katanya.


Sumber: Harian Metro


2 views
bottom of page