top of page

Banjir: Projek dalamkan Sungai Batang Penar segera dimulakan


Gambar hiasan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil langkah segera dengan mendalamkan Sungai Batang Penar khususnya di beberapa tempat di kawasan Ampangan di sini, bagi mengatasi isu banjir kilat yang kerap berlaku.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan keputusan dicapai supaya supaya kerja-kerja mendalamkan Sungai Batang Penar dimulakan secepat mungkin.


“Projek mendalamkan Sungai Batang Penar akan dimulakan segera. Kawasan sungai di Ampangan didalam dan dibersihkan. Ia bermula pada bulan ini juga.


“Sebenarnya banjir kilat yang berlaku bukan kerana isu sungai sangat hujan sangat lebat dalam tempoh lebih sejam, air sungai melimpah dan itu jadi banjir kilat ditambah dengan masalah perparitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Aminuddin dalam pada itu berkata, projek berkenaan tidak termasuk dalam projek kerjasama kerajaan negeri dan pihak swasta dalam pelaksanaan kerja-kerja pengambilan pasir bagi tujuan membersih dan mendalamkan sungai seperti yang diumumkannya semalam.


Semalam, beliau memberitahu, kerajaan negeri dengan kerjasama swasta akan menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai bagi mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini.


Kata beliau, terdapat 10 kawasan telah dikenal pasti di sekitar negeri ini untuk dilaksanakan pengambilan pasir di sungai-sungai bagi mendalamkan sungai supaya tidak berlaku banjir.


Perkara berkenaan menurutnya akan dibincangkan dengan lebih terperinci pada minggu hadapan.


Malam kelmarin, beberapa kawasan di daerah ini seperti di Rasah dan Ampangan dinaiki air selepas air Sungai Batang Penar dan Sungai Linggi melimpah ekoran hujan lebat ekoran hujan lebat lebih sejam.


Sumber: Utusan

16 views
bottom of page