
KUCHING: Sarawak diunjurkan memperoleh hasil sebanyak RM11.035 bilion bagi tahun 2023.
Ia merupakan hasil tertinggi yang pernah diunjurkan setakat ini yang mencerminkan pencapaian relatif dalam meningkatkan Tabung Negeri bagi membolehkan Kerajaan Sarawak membentangkan satu lagi bajet pembangunan dan mengutamakan rakyat.
Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pelbagai projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berimpak tinggi yang merupakan cetusan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah dilaksanakan.
“Bagaimanapun ia telah mengalami sedikit kelemahan dalam pelaksanaan projek disebabkan kekurangan tenaga kerja agensi pelaksana yang terlibat.
“Sebagai contoh, semua jurutera di Bahagian Sarikel telah ditempatkan semula ke Pejabat JKR Wilayah Tengah di Sibu dan ini telah menjejaskan pelaksanaan pantas projek RTP di Meradong.
“Oleh itu, saya ingin menggesa Kerajaan Sarawak mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Menyokong RUU Perbekalan (2023), 2022 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Bagi Tahun 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Ke-19 kelmarin.
Kuong Hiing turut menggesa pihak berkuasa yang terlibat untuk melihat proses pelantikan kontraktor bagi memastikan kualiti dan pelaksanaan projek yang cepat pada setiap masa.
Selain itu beliau turut mencadangkan supaya 55 unit rumah Spektra Pemata di Kampung Malaysia yang merupakan skim penempatan semula dibina
Menurutnya, setakat ini tiada rumah kos rendah atau sederhana di Dun Meradong.
“Saya ingin merayu kepada Premier Sarawak untuk meluluskan Projek Rakyat bagi pembinaan skim perumahan tersebut.
Jika projek ini dilaksanakan, ia akan memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum di Meradong,” katanya.
Tambahnya, pertambahan bilangan penjawat awam juga menuntut pembinaan lebih banyak kuarters kerajaan di kawasan tersebut.
Sumber: Sarawak Voice