PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggubal akta khusus berkaitan pembaharuan semula bandar, bagi memastikan pembangunan semula dilaksanakan dengan lebih sistematik, terancang dan cekap.
Menterinya berkata penggubalan akta itu juga selari dengan negara maju lain yang memiliki undang-undang khusus dalam menentukan hala tuju pembangunan semula kawasan bandar.
"Terdapat beberapa perkara yang merencatkan usaha ke arah pembaharuan semula bandar. Antaranya ketiadaan perundangan khusus, sebarang pembaharuan yang hendak dilaksanakan, merentasi bidang tugas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.
"Malah, terdapat sembilan perundangan khusus yang perlu diambil kira jika pembaharuan semula bandar dilaksanakan. Antaranya Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa, Akta Hakmilik Strata, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Pengurusan Strata," pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar.
Penggubalan akta baharu itu juga penting bagi menangani isu 'Consent Threshold' iaitu persetujuan sebulat suara dalam kalangan pemilik kediaman strata.
Malaysia ketika ini memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik untuk kebenaran melaksanakan pembangunan semula berbanding Singapura yang hanya memerlukan 80 peratus persetujuan bagi bangunan berusia lebih 10 tahun, Hong Kong pada kadar 90 peratus manakala Tokyo, Seoul dan Shanghai masing-masing pada kadar 66.7 peratus.
"Perkara ini sedang dikaji semula dan diperincikan melalui pindaan Seksyen 57 Akta 318 oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
"Saya berharap hasil dapatan kajian oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian akan dapat digunakan secara bersama bagi mempercepat perkara berkaitan persetujuan pemilik ini."
Mengulas mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar, ia diluluskan Kabinet pada 30 Ogos lalu, bertujuan memberi panduan dan rujukan kepada kerajaan, pihak berkuasa negeri (PBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju hartanah dan pihak berkepentingan yang ingin memajukan semula penempatan terpinggir, usang dan tidak lagi ekonomik.
"Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar ini menggariskan panduan pelaksanaan dari segi penyelarasan terminalogi berkaitan pembaharuan semula bandar, proses yang terbabit berdasarkan jenis pemilikan tanah, insentif yang boleh ditawarkan kepada pemaju, tata kelola di peringkat Persekutuan dan negeri serta pertimbangan dalam menguruskan projek pembaharuan semula bandar.
"Dari segi terminalogi pembaharuan semula bandar, Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar ini menyentuh kepada empat jenis pembaharuan semula bandar iaitu Pembangunan Semula Bandar, Penjanaan Semula Bandar, Penyegaran Semula Bandar dan Pemuliharaan Bandar."
Sumber: Berita Harian
Akta khusus pembangunan semula bandar
Commenti