top of page

KPKT perluas Projek Perintis Bandar Sihat


KPKT perluas Projek Perintis Bandar Sihat
Projek Perintis Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang

KPKT perluas Projek Perintis Bandar Sihat

AMPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluas Projek Perintis Bandar Sihat dalam usaha merealisasikan pembangunan bandar sihat, mampan dan selamat sekali gus menyokong kepada agenda Malaysia MADANI.


Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Suhaimi Ali berkata, yang terbaharu, projek itu diwujudkan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang melibatkan peruntukan RM500,000 dengan dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi dan riadah.


"Projek di tapak ini lebih tertumpu kepada aspek menaik taraf kemudahan sedia ada iaitu laluan pejalan kaki dan basikal, penandaan laluan, kemudahan share lane untuk kenderaan mikromobiliti, pemasangan peralatan gymnasium dan beberapa perkara lagi.


"Ia diharap dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk setempat dalam meningkatkan taraf kesihatan dan kualiti hidup rakyat," katanya pada majlis perasmian Projek Perintis Bandar Sihat Laman Rekreasi Tasek Tambahan, di sini pada Ahad.


Menurutnya untuk perancangan jangka masa panjang, inisiatif berkenaan akan diperluaskan lagi dengan melibatkan lebih banyak PBT bagi memastikan pelaksanaan yang lebih menyeluruh menggunakan pendekatan 'whole of nation' termasuk melibatkan badan kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.


Sebelum ini inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2021 itu telah berjaya dilaksanakan di tiga lokasi iaitu di Bandar Jerantut, Pahang, Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang, Selangor dan Taman Tasik Putra Kulim, Kedah pada 2021 melibatkan kos berjumlah RM1.5 juta.


Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dr. Ani Ahmad berkata, Projek Perintis Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang berkenaan yang bermula pada 8 Okt 2021, sepatutnya siap sepenuhnya 7 Jan tahun lepas, namun tertangguh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan pandemik COVID-19.


"Akhirnya projek laman rekreasi ini berjaya disiapkan pada Mei tahun ini dan buat julung kalinya Pertandingan Kereta Kawalan Jauh turut diadakan di litar kereta kawalan jauh di sini, hari ini dengan 60 penyertaan.


"Diharap dengan kemudahan litar kereta kawalan jauh yang ada, satu pertandingan peringkat antarabangsa dapat diadakan di sini pada masa akan datang," katanya.


Sumber: Astro Awani



KPKT perluas Projek Perintis Bandar Sihat

3 views

Comments


bottom of page