PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesyorkan tindakan tegas diambil terhadap penganjur tapak pesta ria (fun fair) di Eco Grandeur Puncak Alam, Kuala Selangor kerana beroperasi tanpa lesen sehingga mengakibatkan kecederaan kepada tiga pengunjung pada Isnin lepas.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kementerian telah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu agar tindakan diambil mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.
"Saya dapat makluman fun fair itu memang tidak dapat kebenaran untuk beroperasi, maka saya syor tindakan tegas diambil kerana anjurkan fun fair tanpa lesen. Saya harap tiada lagi pihak yang cuma ambil risiko dan menganjurkan fun fair yang membahayakan keselamatan," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan insiden tersebut pada sidang media berhubung kesiapsiagaan bomba menghadapi monsun timur laut di sini hari ini.
Mengikut enakmen, kesalahan seumpama itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian malam Isnin lepas, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh ketika menaiki permainan 'Sotong Ride' yang sedang berpusing di tapak pesta ria itu dan video serta gambar mengenai kejadian tersebut tular di media sosial.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Rahilah Rahmat dilaporkan berkata tapak pesta ria tersebut pernah disita pada 29 Nov lepas kerana tidak mendapat lesen operasi daripada PBT, namun operator tempat permainan itu tetap meneruskan operasinya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta laporan dan siasatan dibuat mengenai aspek keselamatan di tapak pesta ria itu, selain mengingatkan PBT meneliti aspek berkenaan agar kejadian sama tidak berulang.
Sumber: Astro Awani
Comments