top of page

Projek perumahan sakit, lewat siap dijangka meningkat - KPKT


Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT)
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) melakukan lawatan kerja ke tapak projek Perumahan Residensi Hektar di Gombak, hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah projek perumahan dikategorikan sakit dan lewat siap dijangka meningkat dalam waktu terdekat kerana masih banyak syarikat pemaju perumahan berdepan masalah kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan COVID-19.


Ketika ini, kebanyakan projek pembinaan yang dipantau Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berjalan, namun mengalami kelewatan berbanding garis masa sepatutnya.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata keadaan itu menyebabkan statistik projek perumahan sakit dan lewat jadi meningkat.


"Bagaimanapun, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai akan bantu cari jalan bagi memastikan sebanyak mungkin projek perumahan terbabit disiapkan dan tidak terbengkalai.


"Berdasarkan statistik sehingga Mac lalu, sebanyak 435 projek dikategorikan sakit dan 112 projek terbengkalai, namun pada masa sama, gambaran yang kami terima selepas selesai mesyuarat baru-baru ini menunjukkan statistik itu mungkin berlaku peningkatan.


"Ini mengambil kira selepas tempoh PKP, masih banyak syarikat sebenarnya baru dalam fasa pemulihan dan bila kita tengok perbandingan gerak kerja dan garis masa sepatutnya, kemajuan masih di bawah.


"Sebab itu walaupun ada kerja (pembinaan), kita menganggap itu jadi lewat kerana dia sudah tertinggal daripada garis masa sepatutnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dua tapak projek sakit, di sini hari ini.


Mengenai langkah memastikan pembeli tidak menjadi mangsa apabila projek perumahan lewat atau terbengkalai, Akmal Nasrullah berkata, antara yang dilakukan adalah menyegerakan pengeluaran surat pengesahan bahawa sesuatu projek itu mengalami masalah.


Katanya, surat yang dikeluarkan Jabatan Perumahan Negara itu boleh digunakan pembeli untuk berunding dengan bank mengenai kadar bayaran balik pinjaman perumahan, tertakluk pada terma perjanjian asal antara di pembeli dan bank.


"Di peringkat kami pula, berusaha mencari jalan bagi memulihkan sebanyak mungkin projek sakit daripada melarat menjadi projek terbengkalai. Bila terbengkalai, prosesnya lebih rumit.


"Pemaju tetap bertanggungjawab untuk selesaikan bahagian dia seperti fizikal rumah, tapi daripada aspek lain yang membabitkan pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan, pasukan petugas akan bantu berurusan dan permudahkan," katanya.


Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan, antara pembaharuan yang akan diperkenalkan adalah kementeriannya akan mula mengeluarkan statistik unjuran projek berisiko sakit, supaya boleh membantu lebih awal.


Selain itu, katanya, KPKT juga akan meneruskan cadangan meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi mengawal risiko berlaku projek terbengkalai, sekali gus membela nasib pembeli rumah.


Terdahulu, Akmal Nasrullah melawat tapak projek Residensi Hektar Gombak dan Kondominium Mulberi di Segambut bagi melihat sendiri kemajuan terkini kedua-dua projek selepas campur tangan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai.


Katanya, projek Kondominium Mulberi membabitkan 284 unit kediaman yang lewat siap sejak tujuh tahun lalu, dijangka dapat disiapkan tahun ini, manakala projek Residensi Hektar Gombak dengan 2,400 unit kediaman yang sepatutnya siap 18 Mac lalu, akan mengambil sedikit masa.


"Projek Residensi Hektar berdepan masalah penyambungan utiliti sistem pembentungan yang kita akan bantu bincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan ada juga kerja fizikal yang perlu disiapkan pemaju," katanya.


Sumber: Berita Harian


留言


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page