top of page

22 rumah kos rendah retak, mendap


CHERAS: Sekurang-kurangnya 22 rumah kos rendah di Taman Impian Ehsan, Balakong, di sini retak serta mengalami mendapan serius, didakwa akibat kerja pembetungan dan perpaipan yang dijalankan di kawasan itu.


Keretakan rumah dua tingkat itu mula dikesan pada September 2017 sebelum kerja baik pulih dilakukan kontraktor projek pembetungan dan perpaipan terbabit, namun ia bukan sahaja kembali retak, tetapi bertambah teruk sehingga ada dinding terbelah.


Penduduk terjejas turut dipindahkan oleh kontraktor ke kediaman sementara sehingga kerja baik pulih selesai.


Wakil penduduk, Kamrudin Nordin, 51, yang menghuni kawasan perumahan berkenaan sejak 25 tahun lalu, berkata keretakan besar menjejaskan kediamannya sehingga memisahkan ruang tamu dan dapur.


Retak semakin besar

“Rumah ini mula retak pada 2017 susulan kerja pembetungan yang dijalankan. Keretakan kemudian semakin membesar serta membimbangkan kami,” katanya ketika ditemui BH.


Difahamkan, selain keretakan dan mendapan yang menjadi kebimbangan utama, penduduk turut diganggu kesan sampingan seperti air bertakung selepas hujan dalam mendapan yang terbentuk dan melimpah sehingga membanjiri ruang hadapan rumah.


Sejak awal 2018, sekurang-kurangnya lapan aduan dibuat penduduk kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kementerian terbabit, selain Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat serta Biro Pengaduan Awam.


Kamrudin bagaimanapun bersyukur kerana kontraktor projek pembetungan dan perpaipan berkenaan menyewakan rumah sementara untuknya sehingga baik pulih selesai, namun pemilik kediaman itu pula memaklumkan mahu menjual rumah terbabit.


Beliau juga khuatir untuk kembali ke rumahnya kerana bimbang sama ada ia selamat untuk didiami selepas kerja baik pulih selesai nanti.


Prosedur siasatan dipersoal

“Ada pihak insurans yang dilantik oleh kontraktor datang untuk membuat penilaian ke atas rumah yang terjejas, tetapi prosedur siasatan dan penilaian keadaan tanah dipersoalkan kerana tiada makluman rasmi dimaklumkan kepada penduduk selepas itu.


“Kami berharap hasil laporan keadaan tanah dapat didedahkan, termasuk pengesahan sama ada ujian tanah ada dilakukan sebelum projek (pembentungan dan perpaipan) di kawasan ini diluluskan.


“Penduduk cukup khuatir kerana kawasan perumahan ini bekas lombong. Secara logik, akan ada implikasi jika sebarang kerja bawah tanah dilakukan,” katanya.


Penduduk, Mohd Nazir Tubee, 44, berkata pengesahan dan jaminan bertulis daripada pihak berwajib bahawa kediaman yang dibaik pulih itu selamat diduduki semula selepas kerja baik pulih selesai nanti adalah cukup penting.


“Kami sebenarnya serba salah. Andai kediaman terbabit disahkan tidak lagi selamat untuk diduduki, kami harap pihak berwajib dapat beri pampasan untuk kami beli kediaman baharu menggantikan rumah yang sudah rosak dan tidak selamat itu.


“Penduduk tidak mempertikaikan kerja pembetungan dan perpaipan yang dilakukan, tetapi isu sekarang ialah jaminan keselamatan untuk kami dan anak cucu pada masa hadapan,” katanya.


Seorang lagi penduduk, Aznil Amri, 38, berkata kerosakan rumahnya cukup teruk apabila ruang tamu mendap dan dapur pula retak, menyebabkan keluarganya bimbang untuk terus menetap di situ selepas kerja baik pulih selesai jika tiada jaminan rasmi diberikan.



13 views
bottom of page