top of page

2,665 premis tiada sijil perakuan bomba


2,665 premis tiada sijil perakuan bomba Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Premis di Malaysia

SEREMBAN: Sebanyak 2,665 premis di seluruh negara tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC) yang diperuntukkan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (pindaan 2020) (Akta 341).


Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata data itu diperoleh hasil pemeriksaan terhadap 8,450 premis yang mana 5,785 premis mempunyai FC yang sah dan terkini.


Katanya, ia berlaku sama ada masih belum diluluskan, dalam proses pematuhan atau gagal memenuhi kehendak kebombaan mengikut Akta 341.


"Pihak berkaitan terutama pegawai keselamatan dan pemilik bangunan perlu memberikan perhatian serius terhadap keperluan FC.


"Kita tidak mahu aspek keselamatan terabai yang boleh meragut nyawa penghuni atau pengunjung premis selain kehilangan nilai aset yang tinggi.


"Banyak pengajaran yang perlu kita pelajari daripada kes kebakaran berprofil tinggi seperti kebakaran Hospital Sultanah Aminah, Johor pada Oktober 2016 dan kebakaran apartmen Grenfell Tower, London, pada Jun 2017," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 2022, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Datuk Edwin Galan Teruki dan Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ahmad Izram Osman.


Seramai 500 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan perindustrian, kilang serta syarikat swasta menyertai seminar berkenaan.


Mohammad Hamdan berkata, kontraktor pepasangan keselamatan kebakaran, pegawai keselamatan dan pemilik bangunan mempunyai obligasi dan peranan yang signifikan selaku barisan hadapan untuk premis yang dibangun dan dioperasikan.


Beliau berkata, ketelitian dan pematuhan piawaian daripada aspek keselamatan kebakaran daripada peringkat awal perancangan sehingga kepada pembinaan dan pengoperasian sesebuah premis, amat penting supaya keselamatan penghuni terjamin.


Menurutnya, JBPM bersama pemain industri sentiasa berusaha menambah baik serta mengemaskini peraturan membabitkan aspek keselamatan kebakaran.


"Ia bertujuan memastikan aspek pengawasan dan perlindungan keselamatan kebakaran bangunan sentiasa relevan seiring dengan pembangunan fizikal serta kelestarian teknologi," katanya.


Katanya, ketika ini semua premis dikehendaki memasang Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA).


"Pemasangan sistem ini amat penting untuk memberikan notifikasi secara automatik apabila berlaku kebakaran, malah pemasangan SPKA juga dijadikan syarat wajib dalam proses pengeluaran sijil perakuan bomba," katanya.


Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, ketika ini terdapat lebih 1,000 bangunan tinggi melebihi 150 meter di negara ini.


Menurutnya, kelengkapan strategi keselamatan kebakaran di dalam bangunan tinggi ini perlu sentiasa baik bagi menangani sebarang kejadian kebakaran.


"Ia tidak mendatangkan risiko selagi mematuhi peruntukan undang-undang dari segi teknikal dan penyelenggaraan yang baik," katanya.


Sumber: Berita Harian


5 views

Comments


bottom of page