top of page

Zaman saya tak perlu lagi menara mercu tanda – Anwar


Menara TRX
Gambar hiasan: cukuplah bangunan hebat sedia ada seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan projek TRX serta menara lain.

Menara TRX

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, zaman pentadbirannya sebagai perdana menteri tidak lagi memerlukan bangunan mercu tanda di Kuala Lumpur.


Sebaliknya kata beliau yang juga Menteri Kewangan, cukuplah bangunan hebat sedia ada seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan projek TRX serta menara lain.


Ujar beliau, pembangunan di ibu kota sepatutnya menumpukan kepada golongan peniaga kecil dan warung terutama dalam isu kebersihan.


“Saya kata cukup mercu tanda Twin Tower, TRX, saya kata okay.


“Bawah pentadbiran Anwar, saya tidak berhajat buat lagi mercu tanda, zaman Anwar yang fikir perlu ialah menjana keupayaan kota, contoh daripada segi kebersihan, keindahan dan ruang kepada golongan penjaja dan warung yang cecah ratus ribu keseluruhan.


“Tidak diberi tumpuan kerana gerai dan warung itu sangat jelik dan bila lihat sendiri umpamanya di Tangling dekat Bukit Aman ternyata kurang diberi perhatian.


“Sebab itu saya turun ke gerai setiap Jumaat. Ini maksud saya anjakan iaitu usaha sebenar untuk ubah yang memberi manfaat kepada majoriti rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan di sini hari ini.


Untuk rekod, KLCC dibina ketika zaman pentadbiran perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangunan TRX ketika zaman perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.


Mengulas lanjut, Anwar berharap pada tahun ini, akan terdapat 30 hingga 40 gerai peniaga kecil yang bersih dan indah dapat diwujudkan dalam usaha memberi manfaat kepada puluhan ribu warga miskin di ibu kota.


“Saya juga berharap rakan-rakan dan syarikat-syarikat besar dan GLC faham tujuan ini dalam program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu menjayakan usaha ini,” katanya.


Sementara itu, katanya, pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu tidak sempat dibahaskan di Parlimen dan perlu dibentangkan semula kerana Pilihan Raya Umum Ke-15.



10 views

Comments


bottom of page