
KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menerima kelulusan perancangan untuk pembangunan 'bina untuk sewa' bernilai A$277.8 juta (RM784.8 juta), yang pertama seumpamanya di Collingwood, Melbourne.
Menurut pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan hari ini, ia telah mendapat kelulusan permit perancangan daripada Menteri Perancangan melalui laluan kelulusan perancangan kerajaan Negeri.
Terletak hanya 3.5 kilometer dari pusat perniagaan Melbourne, tapak seluas 0.54 hektar di pintu masuk timur Collingwood itu akan menawarkan 407 unit pangsapuri melalui dua bangunan setinggi 16 dan 18 tingkat.
Unit-unit ini terdiri daripada studio, serta pangsapuri satu hingga tiga bilik tidur.
Tingkat bawah akan mempunyai ruang runcit seluas 1,300 meter persegi, lorong pejalan kaki, dan lebih daripada 1,000 meter persegi kawasan halaman awam dan separa peribadi yang direka untuk aktiviti komuniti yang meriah atau istirehat yang tenang.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah, berkata pihaknya mengiktiraf kepentingan projek itu untuk kawasan Collingwood dan penduduk tempatan masa depannya, yang akan menambah bekalan perumahan baharu yang kritikal pada waktu pasaran perumahan semakin sukar.
"Kami telah mempunyai kehadiran dan pengalaman lebih daripada satu dekad di Australia, dan 'bina untuk sewa' adalah peluang bagi kami untuk mempelbagaikan portfolio di sini.
"Kami berbesar hati bekerjasama dengan pengendali berpengalaman seperti Greystar, terutamanya untuk memperkenalkan produk yang relatif baharu dan unik untuk pasaran Melbourne," katanya.
Pada Jun 2023, UEM Sunrise telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Greystar, sebuah pakar hartanah global dalam aset 'bina untuk sewa'.
UEM Sunrise bertindak sebagai pemaju dan rakan pelaksana projek, manakala Greystar adalah pelabur dan pengendali melalui struktur 'fund-through'.
Pembinaan pembangunan ini dijangka bermula pada awal hingga pertengahan tahun 2026.
Sumber: Berita Harian
Comments