KUALA LUMPUR 29 Mei - RHB Investment Bank (RHB Investment) tetap menganggap UEM Sunrise Berhad sebagai proksi yang baik kepada pertumbuhan ekonomi Iskandar Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang meskipun pendapatan syarikat menurun buat sementara waktu ini.
Menurut firma penyelidikan itu, perolehan suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) UEM Sunrise gagal mencapai jangkaan yang ditetapkan disebabkan penurunan hasil pada suku tahun tersebut apabila jualan tanah merosot dan kurangnya bilangan pelancaran projek baharu.
"Walaupun begitu, perolehan dijangka mengukuh kelak apabila lebih banyak projek akan dilancarkan sementara semakin banyak aset tanah bukan teras akan dijual.
"Kami yakin beberapa perjanjian strategik mungkin turut akan dimeterai pada minggu-minggu akan datang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment berkata, menurut bayangan pihak pengurusan, penyertaan UEM Sunrise nanti dalam projek taman perindustrian tenaga boleh baharu tidak sama seperti projek-projek JV perindustrian sebelum ini.
Selain itu, katanya, para pelabur juga seharusnya menunggu lebih banyak perjanjian yang lebih membina akan dimeterai pada minggu-minggu mendatang.
"Kami fikir akan ada lebih banyak perancangan untuk memulakan projek–projek pembangunan perindustrian di Gerbang Nusajaya pada masa hadapan.
"Ramalan perolehan tetap sama kerana kami menjangkakan adanya pelancaran projek baharu dan beberapa penjualan aset tanah bukan teras (mungkin mencecah RM1 bilion) dan juga usaha penjanaan pendapatan daripada aset tanah menerusi perjanjian strategik bagi memacu perolehan pada separuh kedua 2024 (2H4).
"Jualan belum dibil kekal tidak berubah pada RM2.61 bilion berbanding RM2.65 bilion pada 4QFY23," jelasnya.
Menurut RHB Investment, jualan baik direkodkan pada 1QFY24 bersamaan dengan RM232.6 juta berbanding dengan RM367 juta pada 4QFY23 dengan sumbangan kepada jualan datang daripada projek-projek yang masih berjalan iaitu 65% dari kawasan Lembah Klang dan 35% lagi dari wilayah selatan semenanjung memandangkan tiadanya pelancaran baharu pada 1QFY24.
"Kadar ambilan untuk The Minh dan The Connaught One naik kepada 40% daripada 46%pada 4QFY23 dan 37% daripada 32% pada 4QFY23.
"Bermula dari 2QFY24 tahun ini, projek-projek baharu bernilai kira-kira RM800j akan dilancarkan, dan mengikut perancangan, pelancaran akan tertumpu di wilayah selatan tanah air, membabitkan bangunan lot kedai di DiReka Square (GDV: RM165 juta dan rumah kediaman bertanah di Aspira Hills (GDV: RM266 juta) dan Estuari (GDV: RM 188juta).
"Di kawasan Lembah Klang, projek pelancaran baharu hanya membabitkan rumah kediaman bertanah di Serena Heights dan Symphony Hills," ujarnya.
Sumber: Dagang News
Comments