top of page

Tumpu tiga perkara asas


Empangan Baleh
Empangan Baleh

SUDAH lebih 50 tahun dipertandingkan sebagai kawasan DUN Baleh, ia berjaya menjadi kubu kuat bagi GPS yang sebelumnya di bawah payung BN.


Pelbagai pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut sepanjang dipegang oleh mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, yang kini diteruskan oleh ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai.


S1: Apa visi dan misi utama YB sebagai ADUN Baleh?

J1: Menjadi visi dan misi kita untuk meneruskan segala pembangunan yang dirancang dan dirancakkan oleh mendiang Masing untuk kawasan ini. Semua perancangan ini sudah diberi tumpuan di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).


S2: Apakah perkara yang ditekankan untuk pembangunan kawasan ini?

J2: Kita memberi tumpuan utama kepada tiga perkara asas untuk kepentingan penduduk setempat iaitu jalan raya, telekomunikasi serta bekalan elektrik dan air. Sekarang, kita fokus kepada pembinaan jalan raya dan pembangunan ekonomi sosial. Kita mahu menjadikan Tunoh (Baleh) sebagai satu perbandaran baharu yang boleh menjadi sumber makanan di seluruh Sarawak.


S3: Isu utama yang ingin dibangkitkan?

J3: Sudah tentu buat masa ini, saya ingin mengetengahkan isu sekolah daif yang terdapat di kawasan ini.

Kerajaan perlu memberi keutamaan dan fokus kepada keadaan sekolah di sini.

Kami hanya ada 20 sekolah rendah dan satu sekolah menengah.

Sehubungan itu, kita juga ingin membuat cadangan bagi menubuhkan sebuah lagi sekolah menengah di kawasan ini.


S4: Perancangan utama yang ingin dicapai?

J4: Kami memerlukan sebuah Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) untuk memastikan keselamatan berhampiran sempadan yang terletak di Tapak Megah.

Ia susulan kedudukan sempadan yang terletak berhampiran dengan Tunoh.

Setakat ini, kita hanya meletakkan kem askar di kawasan tersebut untuk menjaga sempadan tersebut, justeru penting untuk membina CIQ di sini secepat mungkin.


S5: Kongsi sedikit pencapaian yang sudah dikecapi sepanjang menjadi ADUN Baleh.

J5: Terlalu banyak pencapaian yang diperoleh termasuk kelulusan projek yang menghubungkan Tunoh dengan garisan grid utama dari Mapai ke Tunoh.

Sekarang, kita sudah membina jalan yang boleh menghubungkan rumah panjang ke jalan masuk.

Ini pernah menjadi isu besar sebelum ini khususnya ketika Hari Gawai Dayak kerana susah untuk melalui kawasan tersebut.


Sumber: Sarawak Voice

Comments


bottom of page