SINGAPURA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak menawarkan dua sumber tenaga yang diperlukan oleh Singapura untuk memenuhi keperluan sektor perindustriannya.
Beliau berkata, tawaran ini dinyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pra Majlis di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini semalam.
Kata Abang Johari, Sarawak menyatakan untuk membekalkan tenaga elektrik dan melaksanakan perdagangan karbon dengan Singapura.
“Berkenaan penyaluran tenaga elektrik dari Tondong, Sarawak ke Singapura, setakat ini perbincangan bagi projek yang dijangka menelan kos antara RM19 bilion hingga RM25 bilion itu sedang berjalan dengan baik.
“Bagaimanapun saya yakin akan ada siri perbincangan lanjut membabitkan Malaysia, Singapura dan Indonesia kerana projek itu akan melalui kawasan perairan Indonesia,” katanya seperti dipetik TVS.
Abang Johari berkata demikian kepada TVS selepas menyertai delegasi Perdana Menteri melakukan kunjungan bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana Presiden semalam.
Berhubung perbincangan itu khasnya melibatkan Indonesia, Abang Johari berkata, Malaysia dan negara jiran itu mempunyai perjanjian perdagangan pada 1982 sekali gus akan membawa kepada kejayaan projek berkenaan.
“Anggaran kos enam hingga lapan bilion dolar Singapura, kos itu akan ditanggung oleh Singapura dan pihak-pihak yang bekerjasama dengan mereka,” kata Abang Johari lagi.
Abang Johari berada di sini bagi menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri ke sini mulai Isnin.
Lawatan rasmi ke Singapura itu adalah atas jemputan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong.
Ini adalah lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Singapura selepas dilantik pada 24 November tahun lalu.
Beliau diiringi oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut menyertai delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Menteri Besar Johor, turut mengiringi Perdana Menteri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi.
Sumber: Sarawak Voice
Comentarios