top of page

Dewan Negara: Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak terima peruntukan RM170.48 juta


Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sarawak
Gambar hiasan

Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sarawak

PETALING JAYA – Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM170.48juta melibatkan pelaksanaan bagi 14 projek dengan kos sebanyak RM3.04 billion bagi tahun 2023.


Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagi pelaksanaan projekprojek BELB setelah siap ia akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Elektrik Negeri (PBEN) iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk tujuan operasi dan penyenggaraan.


Susulan itu katanya, kerja-kerja membaik pulih infrastruktur-infrastruktur yang telah uzur dan mengalami kerosakan adalah di bawah tanggunjawab PBEN.


“Manakala bagi program Jalan Luar Bandar (JALB), peruntukan berjumlah RM169.1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan 76 projek dengan kos berjumlah RM6.04 billion untuk Wilayah Sarawak di bawah Belanjawan 2023.


“Selain itu, projek-projek jalan luar bandar yang telah siap dilaksanakan di bawah Kementerian ini akan diserahkan semula kepada JKR Sarawak untuk didaftarkan di bawah MARRIS seterusnya melayakkan jalan tersebut menerima peruntukan penyelenggaraan berterusan,” katanya di Dewan Negara hari ini.


Katanya langkah itu bagi memastikan jalan-jalan yang dibina itu sentiasa berkeadaan baik, selesa dan selamat dilalui oleh pengguna jalan raya.


Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim yang meminta kerajaan menyatakan berapakah agihan peruntukan tersebut di Sarawak dan sejauh manakah usaha Kerajaan dalam membaik pulih infrastruktur-infrastruktur yang telah uzur dan mengalami kerosakan di Sarawak.


“Bagi Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), sejumlah RM136.37 juta telah diperuntukkan pada tahun 2023 yang melibatkan pelaksanaan 56 projek BALB di Negeri Sarawak.


“Projek-projek BALB yang telah siap akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Air Negeri untuk pengoperasian dan penyelenggaraan,” jelasnya.


Sehubungan itu katanya, Kementerian mencadangkan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur yang telah uzur dan mengalami kerosakan perlu dibawa dan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Air Negeri.


Sumber: Kosmo!


1 view

Comments


bottom of page