top of page

Tujuh projek kurangkan risiko banjir di Johor


Tujuh projek kurangkan risiko banjir di Johor Berita Harian www.bharian.com.my
Antara projek yang dilaksanakan Kerajaan Johor bagi mengurangkan risiko banjir di negeri itu. - Foto IHSAN FB ONN HAFIZ

JOHOR BAHRU: Projek pelebaran sungai, pembinaan tembok longkang dan naik taraf parit adalah antara tujuh projek yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata secara umumnya, punca utama banjir di negeri ini adalah disebabkan air pasang dan hujan lebat yang berlaku secara serentak.


Oleh itu, katanya, gerak kerja projek berkenaan dibuat khususnya di semua kawasan tumpuan atau 'hotspot' banjir.


"Kerajaan negeri dengan kerjasama Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah dan sedang melaksanakan gerak kerja bagi mengurangkan risiko banjir terutamanya di semua kawasan tumpuan atau 'hotspot' banjir.


"Ini sebagai langkah persediaan menghadapi banjir," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, Onn Hafiz, hari ini.


Beliau berkata, antara kerja yang sudah dilaksanakan adalah pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan banjir jenis OSD atau 'On Site Detention' serta kerja pembaikan, pembersihan sampah dan pendalaman sungai, longkang, saliran selain perparitan.


Katanya, turut dilaksanakan, pembinaan tembok longkang, pembinaan 'weir' atau tebatan di parit besar, penyelenggaraan, penjagaan dan pembersihan perangkap sampah 'logboom' serta kerja naik taraf parit dan pembinaan pembetung parit bawah tanah.


Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha membela bangsa Johor dan komited memastikan segala inisiatif serta perancangan yang berterusan akan dilaksanakan untuk membantu mengurangkan risiko banjir di Johor.


Sumber: Berita Harian


10 views

Comments


bottom of page