top of page

Tender projek KVDT2 dibuka semula susulan pelbagai input



KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menegaskan keputusan membuka semula tender projek Landasan Berkembar Lembah Klang atau Klang Valley Double Track Project (KVDT 2) dibuat selepas mendapat input pelbagai pihak termasuk pakar rujuk, golongan profesional dan syarikat berkaitan pembinaan rel.


Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan itu tidak hanya bergantung kepada Professional Project Review (PPR) yang disediakan syarikat perunding Opus Consultants (Opus) semata-mata.


"Saya hairan juga bila Anthony Loke (bekas Menteri Pengangkutan) sebut Opus Consultants ini tidak dilantik oleh Kementerian Pengangkutan untuk membuat PPR. Dalam kenyataan media saya semalam, mana ada saya sebut kementerian melantik Opus?



"Saya cuma gunakan perkataan Opus Consultants ditugaskan untuk membuat kajian PPR. Saya juga tahu Opus membuatnya secara 'pro bono' atau sukarela. Kalau laporan Opus itu tidak formal, kenapa pembentangan dibuat kepada mantan Menteri Pengangkutan & KSU MOT?


"Bukankah itu membazir masa? Jangan cari helah apabila laporan ini dikemukakan kepada kementerian, saya tidak boleh secara sengaja menganggap PPR ini tidak wujud kerana dapatan kajiannya ialah kos KVDT2 yang ditawarkan kepadaDhaya Maju - LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) adalah terlalu tinggi," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook rasminya, hari ini.


Ka Siong berkata, Anthony sepatutnya menyambut baik keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat tender terbuka bagi projek berkenaan.


Jelasnya, tindakan Anthony yang tetap mempertahankan hujah bahawa Pakatan Harapan (PH) berjaya mengurangkan kos projek itu disifatkan sebagai permainan silap mata bagi mengaburi mata rakyat.


"Pengurangan skop kerja dan penjimatan kos adalah dua perkara yang berbeza. Kalau kurangkan skop kerja pastinya kos projek dapat dikurangkan, tetapi ia bukan penjimatan berdasarkan perbandingan 'epal dengan epal'.


"Apa yang didapati di dalam cadangan projek KVDT2 dengan pengurangan kos 15 peratus, ia lebih menjurus kepada pengurangan skop kerja, sama ada butiran kerja tertentu dikeluarkan dari asal atau ia dibuat pihak lain.


"Sebagai contoh, 'fit for purpose' atau memadai dengan pengurangan skop. Terdapat juga banyak butiran projek yang DM-LTAT minta supaya ianya dibina oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Persoalannya RAC siapa punya? RAC adalah milik kerajaan. Takkan kos yang ditanggung oleh RAC pun satu penjimatan yang ditawarkan oleh kontraktor?" soalnya.


Beliau turut mempersoalkan kenyataan Anthony yang mendakwa pernah memaklumkan kepada Kabinet pada 19 September 2018, mampu mengurangkan kos projek KVDT2 kepada RM3 bilion ke RM3.5 bilion jika ditender semula.


"Persoalannya kenapa tidak dibuat? Lebih teruk lagi, selepas 10 bulan dari tarikh beliau memaklumkan kepada Kabinet, projek KVDT2 pula ditawarkan semula secara rundingan terus pada 2 Julai 2019 pada harga RM4.475 bilion.


"Ini memang aneh lagi ganjil. Pendedahan Anthony membuktikan bahawa beliau tahu lebih awal bahawa kosnya hanya RM3 bilion ke RM3.5 bilion, tetapi tetap bersetuju mengurniakan projek ini secara rundingan terus dengan harga jauh lebih tinggi iaitu RM4.475 bilion," katanya.



131 views
bottom of page