

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tender bagi projek besar perlu diberikan berdasarkan kepada keupayaan syarikat dan rekod prestasi mereka.
Perdana Menteri berkata, ia adalah prinsip yang menjadi panduan dalam menawarkan tender bagi projek-projek besar dalam negara.
"Pada mesyuarat yang saya hadir hari ini dengan jawatankuasa tender yang membuat keputusan mengenai projek-projek besar, saya memberitahu mereka bahawa nama syarikat itu tidak perlu diketahui.
"Hanya syarikat A, B, C. Kita memutuskan bahawa keputusan harus dibuat semata-mata berdasarkan keupayaan, rekod prestasi dan keupayaan kewangan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) di sini, malam ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika ia membabitkan tender projek seperti JanaWibawa, maka ia perlu diberikan kepada syarikat Bumiputera melalui proses terpilih tetapi proses itu juga perlu telus.
"Amalan ini satu permulaan yang bagus dan patut menjadi garis panduan untuk penganugerahan tender.
Anwar menegaskan, proses pemberian tender yang telus adalah penting untuk memerangi rasuah di negara ini yang kini dilabel sebagai endemik.
"Rasuah akan menjadi endemik jika tidak dilakukan secara sistematik di negara ini. Perlu keberanian dan keazaman untuk berubah," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, isu-isu yang melanda sektor perumahan boleh diselesaikan dengan mempercepat serta mengubah proses lapuk dengan memudahkannya.
Katanya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi peraturan negara serta kadar kelulusan yang diperlukan (oleh pemaju).
"Kita sudah berbincang dengan semua Menteri Besar supaya majlis perbandaran di negeri-negeri dapat memudahkan dan mempercepatkan proses," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments