top of page

Syarikat Malaysia digesa teroka peluang di Madinah


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa syarikat Malaysia meneroka projek dan peluang perniagaan baharu di Madinah susulan kerajaan Arab Saudi semakin giat membangunkan bandar itu ke taraf global.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharimahton Mat Saleh, berkata ia susulan Arab Saudi sedang melalui transformasi yang besar dalam usahanya untuk merealisasikan Visi Saudi 2030.


Beliau berkata, syarikat yang wajar merebut peluang itu adalah yang terbabit dalam sektor pembinaan, pembangunan infrastruktur, bahan binaan, pelancongan dan pelbagai sektor perkhidmatan.

Katanya, sudah tiba masa bagi syarikat Malaysia mempertimbangkan Arab Saudi, terutama Madinah untuk merebut peluang ini kerana wujud hubungan yang baik terjalin kedua-dua negara.


“Dalam visi itu, Arab Saudi akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada minyak, sebaliknya ingin mempelbagaikan ekonomi dan membangunkan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.


“Ini bermakna terdapat banyak peluang bagi syarikat Malaysia untuk meninjau, selain daripada sektor tradisional,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sharimahton bagaimanapun menasihatkan syarikat Malaysia untuk melengkapkan diri mereka dengan maklumat mengenai pasaran dan strategi menjalankan perniagaan di Arab Saudi.


“Setiap pasaran berbeza dan memerlukan pelbagai penyesuaian dan penambahbaikan, maka penting bagi mereka untuk berurusan dengan MATRADE,” katanya.


Beliau turut berkata, MATRADE diakui mempunyai pelbagai hubungan dengan pihak industri dan pihak berkuasa di Arab Saudi seperti Lembaga Pelaburan Am Arab Saudi (SAGIA).


“Kami dapat memudahkan hubungan mereka dalam pasaran melalui pejabat kami di Jeddah supaya syarikat ini boleh mempunyai risikan yang diperlukan untuk perniagaan mereka,” katanya.


Setakat ini lebih 25 syarikat Malaysia terbabit dalam pelbagai perniagaan di Arab Saudi antaranya perkhidmatan pembinaan, pengurusan hotel, restoran dan katering, urusan umrah dan haji, penjanaan tenaga dan perkhidmatan kejuruteraan awam.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi pula menunjukkan angka positif dengan meningkat 45.2 peratus kepada RM21.67 bilion pada tahun 2018 berbanding RM14.92 bilion pada tahun 2017.


Eksport Malaysia ke Arab Saudi bernilai RM3.77 bilion manakala import dicatatkan sebanyak RM17.90 bilion dalam tahun yang sama.


Bagi tempoh tiga bulan pertama 2019, perdagangan dengan Arab Saudi meningkat sebanyak 64.1 peratus kepada RM6.19 bilion.



29 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page