top of page

SPRM reman 3 individu kes rasuah babitkan projek, tender PPSPM


AYER KEROH : Tiga individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan bekas timbalannya direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan membabitkan projek bernilai kira-kira RM3 juta, sejak tiga tahun lalu.


Turut direman adalah seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pembuatan kapal.


Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Teoh Shu Yee, mengeluarkan perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 37, 50 dan 56 tahun, bermula hari ini sehingga 23 Februari ini.


Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Difahamkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM dan bekas timbalannya itu menerima suapan daripada beberapa syarikat kontraktor yang beroperasi di sekitar negeri sebagai balasan kerana memberikan projek serta tender di perbadanan itu, sejak 2016.


SPRM semalam menahan kesemua suspek termasuk isteri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM berusia 31 tahun di sekitar Melaka Tengah selain turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan, Range Rover serta pelbagai jam tangan mewah.


Permohonan reman terhadap wanita berkenaan bagaimanapun ditolak oleh pihak mahkamah.

Kesemua suspek diwakili peguam bela, Amritpal Singh a/l Satvindar Singh.


Sumber: Berita Harian


14 views
bottom of page