
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Rakyat Pahang khususnya generasi baharu FELDA perlu mengetahui perkembangan kemajuan pembinaan Rumah Pahang yang sebelum ini dikenali sebagai Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) sebelum diambil alih oleh Kerajaan Pahang selepas pembinaannya terbengkalai.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, rakyat seharusnya tahu bahawa Kerajaan Pahang sedang berusaha menyiapkan projek terbengkalai PGBF yang bukan dimulakan oleh Kerajaan Negeri namun kerajaan mengambil inisiatif meneruskan projek berkenaan demi kepentingan rakyat terutama generasi baharu FELDA.
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan Projek Perumahan Rakyat ini menjadi kepentingan dan keutamaan kepada Kerajaan Negeri kerana itu hasrat YAB Menteri Besar untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada semua rakyat.
“Dan projek BTBM (Bantuan Rumah Termiskin Barisan Nasional) ini adalah sebuah projek terbengkalai suatu ketika dahulu dan Kerajaan Negeri Pahang dengan bermurah hati dan menerima cadangan untuk membaikpulih, menyambung dan menyiapkan projek yang bukan dimulakan oleh Kerajaan Negeri.
“Dan kita sentiasa memantau projek ini supaya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, rakyat perlu tahu bahawa kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan projek terbengkalai yang suatu ketika dahulu dinamakan PGBF yang dinamakan sekarang sebagai Rumah Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab perbahasan oleh ADUN Kuala Sentul, YB. Dato’ Jasri Jamaludin pada Sesi Perbahasan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
YB. Dato’ Jasri sebelum itu membangkitkan isu pembinaan Rumah Pahang yang dikatakan tidak menampakkan kemajuan.
Sumber: Pahang Media