top of page

Siasatan kerosakan struktur jejambat Ampang, Sri Petaling selesai


Stesen Transit aliran ringan (LRT) Bandaraya
Kerosakan struktur jejambat di Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan gangguan jadual perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling.

Stesen Transit aliran ringan (LRT) Bandaraya

PETALING JAYA – Siasatan ke atas kerosakan struktur jejambat yang retak berhampiran stesen Transit aliran ringan (LRT) Bandaraya, yang telah mengakibatkan penggantungan perkhidmatan di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya sejak 27 Januari lalu telah selesai dijalankan.


Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan menunjukkan bahawa kerosakan kepada tiga struktur viaduct dan pier telah diakibatkan oleh pergerakan tanah yang dipercayai daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan.


“Seperti yang telah dinyatakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 27 Januari lalu, kerja-kerja tersebut telah mula dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].


“Pihak Prasarana kini dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih yang akan dimulakan pada awal bulan Mac dan dijangka akan mengambil masa sehingga tujuh bulan,” katanya di sini hari ini.


Jelasnya, tempoh itu merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baikpulih sementara bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja-kerja baikpulih secara menyeluruh.


“Kerja-kerja baikpulih tersebut akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amat serius.


“Prasarana akan sebaik mungkin mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada para pengguna,” jelasnya.


Katanya, apabila perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya, pengguna Laluan Ampang/Sri Petaling akan mempunyai alternatif untuk ke pusat bandar melalui stesen-stesen pertukaran seperti Chan Sow Lin, Titiwangsa dan Sg Besi.


“Sementara kerja-kerja baikpulih dijalankan, perkhidmatan alternatif yang telah diperkenalkan semenjak 27 Januari lalu, termasuk perkhidmatan bas perantara, akan diteruskan.


“Siasatan terperinci tersebut telah dijalankan oleh perunding kejuruteraan Arup Jururunding Sdn. Bhd., di bawah pemantauan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada pihak Prasarana Malaysia Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” ujarnya.


Tambah kenyataan itu, pihak Prasarana merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.


“Kami mengambil maklum kesukaran yang dihadapi oleh para penumpang dan kami memohon maaf diatas segala kesulitan.


“Kami juga berterima kasih di atas kesabaran para penumpang pada masa ini dan keyakinan berterusan menggunakan pengangkutan awam kendalian kami,” katanya.


Sumber: Kosmo!


15 views

Σχόλια


bottom of page