top of page

Sektor swasta pacu pertumbuhan ekonomi


Syarikat asing dijangka menyertai pembangunan projek besar seperti MRT3 dan HSR - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini dijangka menyaksikan lebih banyak usaha untuk mendorong sektor swasta memacu pertumbuhan bagi meringankan beban hutang kerajaan, demikian kata penganalisis.


Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd (TA Securities), Kaladher Govindan, berkata kerajaan akan menangani perbezaan pendapatan dengan memberi tumpuan dalam pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, mobiliti sosial dan jurang digital.


Beliau berkata, memacu ekonomi seharusnya lebih mudah dengan keutamaan kepada langkah mesra perniagaan yang produktif dan mempunyai kemampuan untuk melonjakkan ekonomi, menarik pelaburan langsung asing dan memulihkan semula keyakinan dalam kalangan perniagaan bagi meningkatkan pelaburan swasta dan menggalakkan pengguna meningkatkan penggunaan.


"Dalam hal ini, kita mungkin melihat lebih banyak sektor swasta memacu pertumbuhan bagi mengurangkan beban hutang kerajaan," katanya.


Bagaimanapun, Kaladher menegaskan, memandangkan syarikat tempatan tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk melaksanakan projek besar seperti MRT3 dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang boleh melebihi RM135 bilion, kemungkinan penyertaan syarikat asing akan berterusan.


Beliau berkata, ini adalah khususnya dari China dan pembabitan kerajaan seperti pemilikan Kementerian Kewangan dalam projek Bandar Malaysia RM140 bilion menerusi TRX City Sdn Bhd.


Katanya, dijangkakan defisit fiskal sekitar 5.5 peratus pada 2021, yang mana defisit tinggi akan dibiayai menerusi pinjaman, memandangkan kerajaan tidak dijangka memperkenalkan sebarang langkah cukai tidak popular yang mungkin akan menjejaskan rakyat dan perniagaan dalam tempoh yang sukar kecuali kemungkinan cukai 'durian runtuh' atau keuntungan luar biasa kepada sektor sarung tangan.


"Bagaimanapun, kerajaan dijangka memperkenalkan langkah mengekang ekonomi bayangan bagi menangani ketirisan pendapatan, yang mana ia bukan saja membabitkan perniagaan haram saja, malah pendapatan yang tidak dilaporkan daripada perkhidmatan dan barangan yang sah.


"Ini memerlukan peruntukan yang lebih besar bagi aktiviti penguatkuasaan dan memperluaskan liputan item di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," katanya.


Kaladher berkata, pihaknya menjangkakan Belanjawan 2021 adalah belanjawan mengembang dengan peruntukan RM324 bilion, termasuk perbelanjaan pembangunan kasar RM60 bilion, yang mana 5.2 peratus lebih rendah berbanding jangkaan peruntukan 2020 sebanyak RM341.6 bilion.


Beliau berkata, ia akan mendorong kepada defisit fiskal 5.5 peratus pada 2021 berbanding unjuran pihaknya 7.4 peratus pada 2020.


Katanya, pendapatan dijangka sejumlah RM238.4 bilion pada 2021, yang mana 3.3 peratus lebih tinggi berbanding 2020, disokong oleh sumbangan cukai yang lebih tinggi daripada korporat dan individu berikutan peningkatan momentum pemulihan ekonomi selepas terjejas teruk oleh COVID-19.


"Kami menjangkakan pembayaran dividen daripada PETRONAS akan berkurangan kepada RM20 bilion berbanding RM24 bilion sebelum ini.


"Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami masih kekal iaitu masing-masing -4.5 peratus bagi 2020 dan 6.4 peratus bagi 2021," katanya.



66 views
bottom of page