top of page

Sektor pembinaan pemenang terbesar Belanjawan 2024


Sektor pembinaan pemenang terbesar Belanjawan 2024
Lima stesen LRT 3 bakal menjadi pemangkin kepada sektor pembinaan tempatan -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sektor pembinaan pemenang terbesar Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan adalah pemenang terbesar Belanjawan 2024 apabila menerima manfaat daripada peruntukan pembangunan lebih tinggi dan projek baharu akan datang, demikian menurut penganalisis.


Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, antara projek pembinaan baharu itu termasuk lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3), program tebatan banjir di seluruh negara dan projek LRT Pulau Pinang.


Ia berkata, peruntukan pembangunan juga dinaikkan untuk dua negeri di Sabah dan Sarawak pada 2024.


"Kami kekal positif dalam sektor pembinaan. Saranan 'beli' kami dari segi keutamaan berdasarkan potensi peningkatan kepada harga sasaran (TP) ialah IJM, Gamuda dan Cahaya Mata Sarawak (CMS)," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan yang disediakan oleh penganalisis, Suhaimi Ilias dan Wong Chew Hann.


Maybank IB berkata, sektor penerbangan juga adalah penerima utama peruntukan yang lebih tinggi untuk meningkatkan pelancongan dan mempromosikan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026.


Ia berkata, dalam sektor itu, penerima manfaat terbesar ialah Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kerana kadar caj perkhidmatan penumpangnya (PSC) untuk penumpang antarabangsa adalah lima hingga tujuh kali lebih tinggi berbanding domestik.


Katanya, AirAsia X Bhd juga berkemungkinan menjadi satu lagi penerima manfaat besar, manakala Capital A Bhd berkemungkinan besar sebagai penerima manfaat kecil kerana hanya 50 peratus penumpangnya akan ke destinasi antarabangsa.


"Satu lagi penerima manfaat dalam saiz lebih kecil ialah Genting Malaysia. Kami kekal positif dalam sektor penerbangan, dan saranan beli ialah MAHB, AirAsia X dan Genting Malaysia," katanya.


Bank pelaburan itu juga melihat pemain terpilih dalam sektor pengguna juga adalah antara penerima manfaat daripada inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.


Ia berkata, pelepasan kawalan harga telur dan ayam adalah positif untuk pemain seperti QL Resourse dan Leong Hup International Bhd kerana ia akan membolehkan mekanisme lulus kos yang cekap dilaksanakan, dan membenarkan permintaan pasaran dan kuasa bekalan untuk menentukan turun naik purata harga jualan (ASP) ayam dan telur.


Katanya, sekatan pintu masuk ke pelabuhan tertentu hanya untuk minuman keras akan memudahkan usaha penguatkuasaan ke atas operasi penyeludupan minuman keras, yang memberi petanda baik untuk CAB Cakaran Corporation dan Heineken Malaysia dari segi jumlah jualan.


Maybank IB berkata, syarikat terpilih dalam sektor teknologi perisian berpeluang mendapat manfaat daripada langkah sasaran Belanjawan 2024 untuk mempercepatkan pembangunan dan penggunaan infrastruktur digital, dengan ITMAX System menjadi penerima manfaat yang jelas daripada usaha kerajaan untuk merombak infrastruktur awam yang berkaitan dengan kawalan lalu lintas dan lampu jalan.


Ia berkata, peruntukan besar Belanjawan 2024 sebanyak RM1.6 bilion untuk program latihan dan peningkatan kemahiran HRD Corp (HRDC) boleh memanfaatkan segmen teknologi pendidikan (EduTech) Ramssol Group dalam peranannya sebagai penyelaras program latihan HRDC bertauliah.


Katanya, geran untuk pendigitalan dan automasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan memberi manfaat secara langsung kepada penyedia penyelesaian e-pembayaran seperti GHL Systems dan CTOS Digital melalui portfolio produk berkaitan kreditnya yang luas.


Sementara itu, bank pelaburan itu juga melihat komitmen kerajaan untuk melonggarkan keperluan bagi aplikasi Malaysia Rumah Kedua (MM2H) akan memberi manfaat kepada industri hartanah dalam pasaran sewa dan permintaan hartanah.


Katanya, pengenaan duti setem kadar rata empat peratus ke atas pembeli asing dijangka tidak menjejaskan permintaan hartanah kerana kadar itu masih jauh lebih rendah berbanding kadar duti setem Singapura sebanyak 60 peratus.


Sementara itu, Maybank IB melihat sektor berkaitan perjudian paling terkesan dalam Belanjawan 2024 berikutan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi.


Sumber: Berita Harian


Sektor pembinaan pemenang terbesar Belanjawan 2024


bottom of page