top of page

SEDA Malaysia bantu pacu ke arah tenaga boleh baharu


SEDA Malaysia bantu pacu ke arah tenaga boleh baharu Astro Awani www.astroawani.com
Gambar hiasan: SEDA Malaysia bantu pacu ke arah tenaga boleh baharu

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia akan mengadakan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2022 buat kali kelima dengan tema ‘Memperkasakan Peralihan Tenaga’ pada 29 dan 30 Ogos ini bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


ISES 2022 merupakan satu platform bertukar pandangan serta wadah diskusi bagi membincangkan strategi mencapai sasaran kerajaan dalam mencapai 31% campuran kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) nasional pada tahun 2025 dan 40% menjelang tahun 2035.


Pengerusi SEDA Malaysia, Lukanisman Awang Sauni berkata, SEDA Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara.


“Kami akan terus menjalankan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan negara dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, sekali gus menangani isu perubahan iklim dan pelepasan gas rumah hijau” tambah beliau.


Agenda peralihan tenaga ini juga adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 7 (SDG 7) yang memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, mampan dan moden untuk semua.


“Melalui program Tarif Galakan (FiT) yang dijalankan oleh SEDA Malaysia sejumlah 1,428.15MW kapasiti telah diluluskan bagi kesemua sumber TBB melibatkan sebanyak 10, 482 projek di seluruh negara.


“Pihak berkuasa juga menjalankan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) di mana pengguna dapat menjana tenaga elektrik melalui pemasangan solar PV di atas bumbung rumah atau bangunan mereka. Setakat Jun 2022 sejumlah 906.33MW kuota telah diluluskan bagi program ini,” katanya ketika ditemu bual di Niaga AWANI hari ini.


Kedua-dua program ini telah menyumbang dalam pembangunan sektor TBB di samping menyokong pencapaian sasaran 31% kapasiti terpasang TBB menjelang tahun 2025.


Persidangan ini juga akan membincangkan isu-isu berkaitan tema tersebut daripada sudut teknologi, model perniagaan, kewangan, dan polisi kerajaan yang turut jua merangkumi topik seperti penerokaan inovasi digital dalam sistem elektrik serta menggalakkan pembangunan bandar rendah karbon dalam peralihan tenaga.


Sumber: Astro Awani


6 views

Comments


bottom of page