top of page

Sabah dapat RM320 juta tangani isu air


Isu air di Sabah
Gambar hiasan (Sumber: NSTP)

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan RM320.25 juta kepada Kerajaan Sabah sebagai bantuan bagi menyegerakan pelaksanaan pelan jangka pendek menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu membabitkan pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh negeri.


Katanya, ia termasuk sembilan projek di bawah pelan daerah untuk Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.


"Kita mengalu-alukan keputusan segera Perdana Menteri. Pelaksanaan projek ini dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga 12 bulan untuk disiapkan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengetuai rombongan negeri pada mesyuarat tertinggi membincangkan masalah air Sabah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.


Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.


Mesyuarat berkenaan turut disertai Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengemukakan pelan jangka panjang bekalan air berimpak tinggi yang dirangka kerajaan negeri, termasuk projek empangan di Papar dan Ulu Padas, Sipitang bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk jangka masa panjang.


Sumber: Berita Harian


bottom of page