top of page

Kelemahan pengurusan punca masalah air di Sabah


Gambar hiasan: Kelemahan pengurusan punca masalah air di Sabah

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap tahap pengurusan projek pembekalan air di Sabah.


Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pengurusan yang lemah menjadi punca utama isu kekurangan bekalan air yang dialami penduduk di Sabah ketika ini.


Katanya, kelemahan pengurusan juga menyebabkan pelaksanaan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 bagi membekalkan air ke Kota Kinabalu yang sepatutnya siap pada tahun lalu mengalami kelewatan.


"Saya sedar masalah air yang berlarutan di Sabah adalah berpunca daripada kelewatan pelaksanaan projek yang dirancang dan sudah dianugerahkan. Contohnya LRA Telibong fasa dua, ia adalah untuk memenuhi keperluan pada 2022 tetapi sekarang sudah 2023 belum siap.


"Selama empat bulan menjadi Menteri Kerja Raya, saya kecewa melihat banyak projek ini berdepan masalah pengurusan. Tapi kita akan cari pendekatan untuk memperkemaskan dan meningkatkan sistem penyampaian bekalan air, khususnya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)," katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN - Senallang) mengenai isu bekalan air yang semakin meruncing di Sabah.


Katanya, tindakan juga sedang diambil bagi menambah tenaga kerja dan mengemaskan tadbir urus JANS, selain mengatasi masalah pembekalan air terutama air tidak berhasil (NRW).


Menjawab soalan asal Mohd Shafie mengenai langkah mengatasi masalah bekalan air, Shahelmey berkata, tindakan jangka sedang dilaksanakan membabitkan pelbagai isu seperti paip bocor, paip usang, kecurian air dan kualiti sumber air mentah.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page