top of page

SABAH BERDEPAN LAMBAKAN RUMAH TIDAK TERJUAL – JAUJAN SAMBAKONG


TAWAU: Sabah berdepan dengan lambakan rumah tidak terjual akibat pembinaan bangunan yang tidak memenuhi keperluan pembeli di negeri ini.


Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata pemaju perlu selari dengan kehendak pembeli dan melihat semua aspek termasuk berkaitan tapak pembinaan, kemudahan utiliti serta pengangkutan.


“Beribu rumah tidak terjual di Sabah sebab tidak memenuhi keperluan pembeli sebab pembeli akan melihat semua aspek termasuk masalah kemudahan utiliti dan pengangkutan.


“Ada juga tidak dibeli ekoran dibina di lokasi tidak strategik walaupun ditawarkan harga mampu milik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Fasa 2 Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) D’Bayan Fruits Garden di sini, Sabtu.


Beliau berkata projek perumahan perlu dirancang sebaiknya di kawasan bersesuaian dan dibina dengan bahan berkualiti yang menepati piawaian pelan serta bersifat kondusif agar seiring dengan keperluan pembeli.


Sehubungan itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mahu pemaju datang berbincang dengan kementeriannya sebelum memutuskan sebarang pembinaan projek di negeri ini bagi mengelak rumah tidak terjual.


“Ini selari dengan dasar kerajaan yang kini menyelaraskan semua projek perumahan di bawah Majlis Perumahan Negara yang turut memberi kuasa kepada kementerian saya untuk terlibat secara langsung sebelum sesuatu projek dilaksana.


“Bukan sahaja pemaju tetapi kerajaan pusat pun jika ingin melaksana projek kena berunding dulu, sebab apa kerana keperluan di sini agensi di bawah kementerian saya seperti Majlis Perbandaran, Majlis Daerah ada data boleh digunakan,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha pemaju perumahan yang berhasrat membangunkan lebih banyak rumah mampu milik agar lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.


Sementara itu, Jaujan berkata pihaknya akan membuat siasatan berhubung isu pemaju perumahan yang mengenakan caj bayaran perkhidmatan pengurusan tambahan kepada pemilik rumah tanpa pengetahuan.


Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji usaha Visa Suria Holding Sdn Bhd yang berjaya meneruskan pembinaan Fasa 2 PPAM D’Bayan Fruits Garden sebanyak 78 unit yang boleh diduduki menjelang 2021.


Sumber: Borneo Today


25 views
bottom of page