KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah tempatan, Radium Development Bhd (Radium) yang membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini yakin penyenaraian itu membolehkannya mencapai prestasi lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi projek pembangunan baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.4 bilion.
Pengarah Urusan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong, berkata rancangan itu terdiri daripada RM1.5 bilion untuk pelancaran baharu pada tahun ini dan projek berterusan yang lain.
Selain itu, beliau berkata sumbangan lain adalah daripada projek yang sedang dirancang dengan GDV RM1.9 bilion di Mukim Batu dan Mukim Petaling yang akan diumumkan pada 2024.
Radium juga, katanya akan menggunakan RM171 juta daripada sasaran RM434 juta yang dijana daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu bagi pembelian tanah serta perbelanjaan pembangunan yang lain.
"Sasaran prestasi lima tahun dengan projek semasa dan akan datang bersama dengan hasil IPO untuk simpanan tanah akan memberikan gambaran masa depan yang lebih jelas untuk kumpulan.
"Ini akan menandakan fasa seterusnya untuk Radium dan bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya pada masa hadapan," katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini.
Kah Siong berkata, Radium telah melancarkan dua projek pada 2023 iaitu R Suites Chancery Residences di Jalan Ampang dengan GDV sebanyak RM474.4 juta dan Residensi Desa Timur di Salak South dengan GDV RM1 bilion.
Beliau berkata, kumpulan juga teruja dengan sambutan positif bagi projek pembangunan Residensi Desa Timur dan percaya ia akan menjejaki kejayaan pelancaran sebelum ini yang mendapat sambutan menggalakkan kerana lokasinya yang strategik dan harga yang berpatutan.
"Kumpulan telah menerima tempahan menggalakkan hampir 32 peratus untuk projek rumah mampu milik Residensi Desa Timur dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya pada Mei 2023," katanya.
Radium membuat penampilan sulungnya di Bursa Malaysia semalam dengan harga pembukaan lebih rendah 35 sen sesaham berbanding harga IPO sebanyak 50 sen.
Radium ialah penyenaraian keempat di Pasaran Utama tahun ini, dengan menerbitkan 868 juta saham baharu, mewakili 25 peratus daripada modal saham syarikat yang diperbesarkan.
Kah Siong berkata, daripada IPO itu, Radium menyasar dapat menjana RM434 juta dengan RM171 juta daripadanya diperuntukkan untuk pembelian tanah dan/atau perbelanjaan pembangunan, RM109.3 juta untuk pembinaan hotel, RM93.9 juta lagi diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM39.8 juta untuk modal kerja dan baki RM20 juta untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.
Beliau berkata, daripada 868 juta saham baharu, 273 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 60 juta saham kepada pengurusan kanan utama, pekerja kumpulan dan rakan perniagaan yang layak termasuk mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebanyak 435 juta saham lagi akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 100 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Sumber: Berita Harian
Kommentare