top of page

Radium tumpu dua projek perumahan bernilai RM1.52 bilion


Radium Development Bhd
Projek Chancery setinggi 51 tingkat terdiri daripada 944 suit kediaman - Foto laman web Radium

Radium Development Bhd

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah Radium Development Bhd akan menumpu untuk membangunkan dua projek perumahan di Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.52 bilion pada 2023.


Pengerusinya, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata projek ini ialah R Suites Chancery Residences (Chancery) di Ampang dengan GDV sebanyak RM521 juta dan pembangunan akan datang di Salak South/Sungai Besi dengan anggaran GDV RM1 bilion.


Projek Chancery setinggi 51 tingkat yang dilancarkan awal tahun ini akan dibangunkan di kawasan seluas 0.88 hektar dan terdiri daripada 944 suit kediaman, ruang komersial dan kemudahan eksklusif serta hotel dengan 145 bilik yang diuruskan oleh sebuah jenama hotel terkenal.


Mhd Amin Nordin menerusi temubual bersama Bernama berkata, projek itu dijangka siap menjelang suku keempat 2025, lebih awal daripada tarikh mengikut kontrak pada suku keempat 2027 yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Manakala, pembangunan di Salak South/Sungai Besi disasar dilancarkan pada suku kedua 2023 dan terdiri daripada dua komponen hartanah, iaitu kediaman bandar dan rumah mampu milik dengan 1,218 unit bagi setiap komponen.


Sejajar dengan moto Radium, beliau menjelaskan, syarikat itu menumpukan kepada 'building good' (binaan yang baik).


Mengenai kejayaan Pengarah Urusan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong mentransformasikan tanah setinggan di Setapak, beliau berkata pada tahun 2005 Gary Gan menyasarkan matlamat untuk membangunkan rumah mampu milik bagi masyarakat seiring dengan arus pembandaran yang pesat.


"Selaras dengan Dasar Setinggan Sifar yang ditetapkan oleh kerajaan pada tahun 2001, Gary Gan mengambil inisiatif untuk mengenal pasti tanah setinggan.


"Dalam usahanya membangunkan rumah mampu milik, beliau menetapkan standard tinggi yang membawa kepada infrastruktur yang terancang di sekitar kawasan itu. Pada masa ini, terdapat sifar setinggan di Setapak," katanya.


Projek Chancery kini bakal menjadi mercu tanda tersendiri, dan unit-unit berkenaan dilengkapi dengan perabot yang berkualiti tinggi, yang akan memudahkan pembeli untuk berpindah masuk.


"Saya yakin projek Chancery ini akan terjual lebih daripada 80 peratus tahun ini manakala projek Salak South/Sungai Besi lebih 60 peratus.


"Ini kerana, permintaan terhadap rumah sentiasa meningkat berdasarkan kepada anggaran penduduk di Kuala Lumpur yang dijangka mencecah dua juta orang dalam tempoh terdekat ini, dan dengan ramai orang yang datang bekerja di ibu kota, mereka akan memerlukan rumah mampu milik," katanya.


Selain daripada dua projek perumahan itu tahun ini, Mhd Amin Nordin berkata, Radium juga sedang berusaha untuk menyenaraikan syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada suku kedua 2023.


"Kami berharap dengan tawaran awam permulaan (IPO) ini, kami boleh terus menumpukan kepada memudahkan pemilikan rumah di Kuala Lumpur, terutamanya dalam kategori rumah mampu milik," katanya.


Setakat ini, Radium telah menyiapkan lima pembangunan rumah mampu milik iaitu Vista OUG Residensi dan Vista OUG PPAM di Bukit OUG; Vista Wirajaya 1 & 2 Residensi Wilayah di Taman Melati dan Vista Semarak di Jalan Semarak.


Unit-unit rumah syarikat itu telah hampir 100 peratus terjual sejak pelancaran pembangunan pertamanya di Jalan Semarak pada 2017 dan telah meraih hasil sebanyak RM2.1 bilion setakat Oktober 2022.


Ketika ini, Radium mempunyai 9.77 ekar (3.95 hektar) bank tanah di Salak Selatan/Sungai Besi, dan telah memeterai perjanjian usaha sama untuk tujuan membangunkan tanah seluas 5.13 ekar (2.08 hektar) di Mukim Batu dan menyenarai pendek 3 bidang tanah terletak di Mukim Petaling.


"Kami sentiasa mencari simpanan tanah baharu di Kuala Lumpur, yang memerlukan banyak pelaburan dan kecekalan," katanya.


Mengenai hala tuju industri hartanah Malaysia pasca pandemik, Mhd Amin Nordin berkata industri itu, terutamanya di Kuala Lumpur, masih ada permintaan yang perlu dipenuhi.


Beliau berkata, Radium meningkatkan usahanya untuk menampung peningkatan permintaan terhadap hartanah, terutamanya di Kuala Lumpur, dan pada masa yang sama menangani kekurangan kediaman di bandar, dengan lebih 300,000 rumah diperlukan di ibu kota untuk bersaing dengan bandar raya serantau lain.


Tekanan inflasi dan peningkatan kadar faedah adalah antara cabaran yang dihadapi industri hartanah pada 2023, kata Mhd Amin Nordin, sambil menambah pasaran menerima impak daripada kenaikan kos bahan mentah.


"Faktor ini juga membawa kepada perbelanjaan hidup yang tinggi, yang menyebabkan pembeli berhati-hati dengan jenis hartanah yang mereka akan beli.


"Bagaimanapun, lokasi hartanah masih menjadi faktor nombor satu yang mempengaruhi pembeli untuk memilliki hartanah sendiri, dan inilah yang menjadi kelebihan kepada Radium kerana pembangunan kami terletak di kawasan permintaan tinggi yang banyak tersedia peluang pekerjaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


17 views

Comments


bottom of page