top of page

Pusat Kajian Bencana Alam UMS keluarkan rujukan pembinaan bangunan tahan gempa


Pusat Kajian Bencana Alam UMS keluarkan rujukan pembinaan bangunan tahan gempa
Peserta Bengkel Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana (PTO) Gempa Bumi Negara melawat bekas kawasan bencana gempa bumi di Kota Belud, baru-baru ini. - Foto UMS

Pusat Kajian Bencana Alam UMS keluarkan rujukan pembinaan bangunan tahan gempa

KOTA KINABALU: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengeluarkan rujukan pembinaan bangunan tahan gempa bagi menghadapi risiko bencana gempa bumi di negara ini.


Pengarahnya, Prof Madya Dr Carolyn Payus, berkata rujukan itu merangkumi reka bentuk bangunan yang sesuai dan mampu bertahan sekiranya berlaku gegaran.


Katanya, rujukan itu boleh digunakan di seluruh negara sebagai langkah baharu memastikan pembinaan dan reka bentuk bangunan di negara ini disesuaikan dengan risiko gempa bumi.


"Pihak NDRC sudah mengeluarkan rujukan dalam pembinaan dan reka bentuk bangunan di Malaysia supaya mampu bertahan sekiranya berlaku gegaran gempa bumi.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Rujukan itu dihasilkan menerusi penyelidikan daripada Felo Utama Seismik Gempa dan Kejuruteraan NDRC UMS, Dr Noor Sheena Herayani," katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Selain itu, katanya, NDRC juga sudah mengeluarkan pemetaan Garis Sesar Zon Bahaya Seismik bagi negeri Sabah yang memaparkan kawasan berisiko gempa bumi.


Beliau berkata, peta itu dihasilkan menerusi penyelidikan Felo Penyelidik Geologis NDRC UMS, Dr Hardianshah Salleh dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).


Sementara itu, Carolyn berkata, NDRC juga terbabit dalam Bengkel Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana (PTO) Gempa Bumi Negara yang dianjurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini, baru-baru ini.


Katanya, program itu antara lain bertujuan mengemas kini PTO Gempa Bumi seiring dengan peredaran semasa dan memastikan agensi yang berkaitan menggunakan teknologi terkini.


Beliau berkata, langkah itu bagi mempersiapkan negara agar sentiasa bersedia apabila berhadapan ancaman bencana gempa bumi terutama di Sabah.


"Usaha proaktif Kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah amat penting dalam mengemas kini penyelarasan bidang kuasa agensi kerajaan dalam operasi tindakan serta arahan gerakan agar lebih jelas dan cekap serta berkesan ketika mengendalikan bencana apabila berlaku gempa bumi di negara kita.


"Pembabitan NDRC dalam program ini adalah amat penting dan sangat signifikan kerana Sabah lebih kerap terdedah terhadap ancaman gempa bumi," katanya.


Beliau berkata, di Sabah kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan kombinasi pengaktifan sesar kuno akibat himpitan pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia, selain pergerakan sesar aktif tempatan.


Sumber: Berita Harian


Pusat Kajian Bencana Alam UMS keluarkan rujukan pembinaan bangunan tahan gempa


6 views

Comments


bottom of page