top of page

Projek terowong dasar laut diteruskan



GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak berhasrat untuk membatalkan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.


Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan kawasan yang diperuntukkan untuk kerja tebus guna oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd, iaitu anak syarikat pemaju hartanah Eastern & Oriental Bhd (E&O) bagi pembangunan projek terowong dasar laut serta jalan perhubungan.


"Tiada rancangan untuk membatalkan projek terowong dasar laut, justeru (tanah) rizab itu diperlukan.


"Sekiranya tidak memperuntukkan (tanah) rizab itu, di mana kita nak hubungkan terowong dasar laut berkenaan sebaik ia siap kelak?


"Setakat ini, tiada keputusan dibuat untuk tidak meneruskan pembinaan terowong dasar laut berkenaan," katanya kepada pemberita, hari ini.


Setakat Mei tahun ini, Tanjung Pinang Development sudah menyerahkan 90.07 ekar (36.45 hektar) daripada keseluruhan 131.09 ekar (53.05 hektar) tanah untuk tebus guna kepada Kerajaan Pulau Pinang.


Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata projek lebuh raya Pan Island Link oleh SRS Consortium akan dihubungkan dengan rizab jalan.


Pada Julai lalu, SPRM membuka kembali siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3bilion, berikutan wujud bukti-bukti baharu yang dikaitkan dengan perkara berkenaan.


Projek berskala mega itu mengundang pelbagai kontroversi, khususnya membabitkan kajian kebolehlaksanaan yang bernilai RM305 juta dan kelewatan menjangkau dua tahun, berbanding jadual asal.


Kerajaan Pulau Pinang sehingga kini menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn Bhd, sama ada dalam bentuk tunai atau tanah, bagi tujuan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut di negeri terbabit.


Berdasarkan pelan asal, projek itu merangkumi empat komponen utama, iaitu tiga jalan perhubungan sepanjang 30 kilometer dan terowong dasar laut yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.


22 views
bottom of page