Projek tebatan banjir ditambah baik


Projek tebatan banjir sedia ada akan ditambah baik untuk mengawal banjir khususnya di kawasan bandar.

KUALA LUMPUR - Kerajaan dalam proses merangka dan membuat kajian bagi menambah baik projek tebatan banjir sedia ada untuk mengawal banjir yang berlaku dalam negara khususnya di kawasan bandar.


Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, projek itu akan melibatkan kerja-kerja mendalamkan sungai serta membina ban yang lebih tinggi untuk melancarkan aliran air sungai.


“Kami bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih dalam proses merangka satu kaedah tebatan banjir yang lebih baik berdasarkan berlakunya kejadian-kejadian luar jangka pada waktu ini.

“Jadi dalam hal ini, kami hanya mampu membuat yang terbaik berdasarkan elemen fizikal dan elemen luar kawal seperti hujan lebat berlarutan dua, tiga jam, kita tidak boleh kawal,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan di Pusat Ramalan dan Banjir Negara di sini hari ini.


Beliau berkata, usaha sama bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan ditingkatkan lagi, sebagai inisiatif dan usaha menyelesaikan isu banjir terutamanya di kawasan bandar.


Mengulas lanjut menurutnya, bagi menghadapi kejadian banjir kilat semasa musim monsun barat daya, JPS telah memasang sebanyak 472 stesen siren, di lokasi yang sering mengalami banjir.


“Stesen siren ini akan mengeluarkan bunyi sebagai amaran banjir kepada penduduk sekitar, sebagai tindakan awal untuk mereka menyelamatkan diri dan harta benda,” katanya.


Selain itu, beliau juga menjelaskan Terowong Lebuhraya SMART telah membantu kerajaan dari menanggung kerugian sebanyak RM1.4 bilion akibat banjir dari 2007 hingga tahun ini.


“Setakat ini, SMART Tunnel telah beroperasi sebanyak 445 kali dan sebanyak 30 kali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 26 Julai tahun ini,” katanya. - Bernama


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #SMRT #banjir #JPS

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.