top of page

Projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Jernih siap Mei 2025


ree
Gambar hiasan: Projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Jernih

ree

ALOR GAJAH: Projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Jernih di sini, yang mengalami kelewatan kerana masalah teknikal, dijangka dapat disiapkan pada Mei 2025.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya sudah memanggil pihak kontraktor untuk membentangkan pelan pemulihan projek bernilai RM234 juta itu.


Katanya, sehingga 25 Oktober kemajuan sebenar projek itu adalah 60.52 peratus berbanding kemajuan dirancang 61.32 peratus dengan kelewatan selama 43 hari.


"Saya tidak berpuas hati dengan kemajuan (projek) sebab itu kami turun ke lapangan untuk bincang dan lihat sendiri serta minta komitmen daripada kontraktor.


"Projek ini (TAPS) kritikal sebab kita akan buat projek lain dan ia akan bergantung pada sumber ini," katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat tapak TAPS Sungai Jernih di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.


Lawatan itu adalah sebahagian siri pertama jelajah PETRA Skuad Zon Selatan bermula di Melaka, hari ini.


PETRA Skuad adalah inisiatif turun padang oleh kementerian untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas langsung mengenai isu tenaga dan air tempatan.


Mengulas mengenai TAPS, Fadillah berkata, projek yang bermula pada 2022 itu dijangka menyelesaikan isu sumber air mentah terhad yang dialami di daerah itu selain mengurangkan kebergantungan Melaka pada bekalan air mentah dari Negeri Sembilan dan Johor.


Katanya, ia membabitkan pembinaan stesen muka sauk bagi mengalihkan air mentah dari Sungai Rembau dan mengepam air melalui paip saluran sepanjang lima kilometer ke empangan Jernih selain mampu menjadi sumber simpanan bekalan air selama 90 hari pada musim kemarau.


Meneruskan jelajah PETRA Skuad, Fadillah kemudiannya melawat Loji Jana Kuasa Solar i2 Solarpark One di Masjid Tanah.


Beliau kemudiannya meninjau pemasangan Smart Water Metering bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Pangsapuri Sri Utama UTem, Ayer Keroh.


Jelajah diteruskan dengan pemeriksaan penggunaan perangkap gris di premis makanan di Melaka International Trade Centre (MITC).


Lawatan itu diakhiri dengan pemeriksaan kelengkapan elektrik bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) di lokasi sama.


Terdahulu, selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah, Fadillah turut berkesempatan menyaksikan operasi sedut Indah Water Konsortium (IWK).


Operasi itu diadakan sebagai kesedaran bersama komuniti dalam meningkatkan lagi kefahaman semua pemilik tangki septik untuk menjalankan tanggungjawab mengosongkan tangki septik untuk elak risiko pencemaran kepada saliran awam.


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page